Saturday, July 25, 2009

Intuisi ( Gerakhati)

Assalamualaikum dan salam Sejahtera

Syukur Alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi kali ini.

Pada pos kali ini saya akan membincangkan tentang intuisi atau gerakhati. Bila talipon berdering, pernahkah anda ada gerakhati yang membolehkan anda meneka dengan tepat siapa yang menalipon anda ? Anda sendiri tidak tahu bagaimana anda tahu siapa yang menalipon . Tetapi anda boleh meneka siapa yang menalipon dengan tepat. Inilah yang dipanggil gerakhati atau intuisi. Pada pendapat saya, intuisi ini merupakan satu anugerah besar dari Allah untuk membantu kita.

Intuisi bukanlah satu perkara yang baru dikenali. Pada zaman Greek purba, raja - raja Greek ada menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Oracles of Delphi.Jawatankuasa ini mengandungi orang - orang yang mempunyai intuisi yang kuat. Jawatankuasa ini boleh menjawab sebarang soalan yang dikemukakan dengan tepat menggunakan intuisi mereka .

George Soros merupakan peniaga matawang yang terkenal didunia. Soros mempunyai kejayaan yang luarbiasa dibidang perniagaan matawang. Soros mengaku bahawa selain dari bergantung kepada analisa pasaran sebelum memasuki pasaran, dia sangat bergantung kepada intuisinya. Sebab itulah Soros mempunyai kejayaan yang luarbiasa di bidang perniagaan matawang.

Fortune 500 merupakan 500 syarikat yang paling berjaya di Amerika Syarikat. Dikalangan syarikat Fortune 500 ini , satu kajian telah dilakukan. 10 peratus dari syarikat Fortune 500 yang mencapai kadar keuntungan yang paling banyak dimasukkan kedalam kumpulan A. 90 peratus bakinya dimasukkan kedalam kumpulan B. Kajian dilakukan mengenai bagaimana CEO syarikat dalam kumpulan A menggunakan intuisi mereka berbanding CEO dalam kumpulan B. Didapati CEO kumpulan A lebih banyak bergantung kepada intuisi berbanding dengan CEO kumpulan B. Ini merupakan salah satu faktor penting yang membantu mereka mencapai kejayaan mereka.

Intuisi ini merupakan panduan terus dari Allah untuk membantu kita. Ia berlainan dari Penapis RAS yang saya terangkan dalam pos yang lepas. Intuisi juga tidak melalui Penapis RAS . Penapis RAS hanya menapis input yang melalui 5 pancaindera kita sahaja ( penglihatan, pendengaran, bau, lidah dan kulit). Oleh kerana intuisi adalah panduan terus dari Allah terus ke minda , maka ia tidak ditapis oleh Penapis RAS.

Walaubagaimanapun, intuisi akan menjadi kuat jika kita mempunyai corak pemikiran dan kepercayaan yang betul . Contohnya seorang yang sedang mencari kerja dan percaya bahawa dia boleh mendapat pekerjaan seperti yang dicarinya, maka dia lebih senang mendapat intuisi yang akan membantunya mendapat pekerjaan. Contohnya dia mungkin secara tiba - tiba dan tanpa sebab tertentu teringat seorang kawan lama dan ingin menghubunginya. Bila dia menghubungi kawannya tadi, rupanya syarikat kawannya bekerja memang memerlukan pekerja . Bila dia teringat kawannya, inilah dipanggil intuisi.

Seorang yang percaya dia sukar mendapat pekerjaan kerana sebab tertentu, maka dia sukar sedikit mendapat intuisi yang akan membantunya mendapat pekerjaan.

Seorang yang percaya dia boleh berjaya dalam bidang perniagaan , maka dia akan mendapat intuisi yang akan membantunya dalam bidang perniagaan. Seorang yang mempunyai matlamat untuk membeli kereta, akan lebih senang mendapat intuisi yang menolongnya mendapatkan kereta idamannya. Seorang yang percaya dia boleh mendapat pasangan yang sesuai dengannya. dia boleh mendapat intuisi yang menolongnya mencari pasangan yang sesuai. Begitulah seterusnya.

Oleh kerana intuisi ini adalah dari Allah , ia tidak membawa sebarang mudarat kepada kita. Ia sentiasa membantu kita. Intuisi juga tidak pernah silap. Yang silap mungkin penafsiran kita tentang intuisi tadi.

Kita perlu melatih intuisi ini supaya menjadi lebih kuat. Apabila mendapat satu intuisi, jangan abaikannya. Ikutlah intuisi tadi. Katakan kita sedang mencari lokasi perniagaan yang sesuai, mencari pekerjaan atau jodoh dan sebagainya. Jika kita tanpa sebarang sebab tiba - tiba teringat seseorang atau tempat, cuba hubungi orang tersebut atau kunjungi tempat tersebut. Mungkin kita akan jumpa apa yang kita cari. Semakin kita latih intuisi kita , ia akan menjadi semakin kuat. Jika kita abaikan intuisi ini , ia akan semakin hilang.





Jangan ambil sebarang risiko besar berdasarkan intuisi sahaja.Contohnya, jika tadi seorang yang bernama Ahmad mencari lokasi perniagaan. Dia mendapat intuisi untuk menghubungi kawannya. Menghubungi kawannya tidak melibatkan sebarang risiko maka dia perlulah menghubungi kawannya. Kawannya pula mencadangkan satu lokasi yang dianggap sesuai. Maka Ahmad perlulah membuat kajian samada lokasi itu sesuai untuk perniagaan. Jika sesuai barulah dia memulakan perniagaan disitu. Begitulah, setiap perkara mestilah dikaji dengan terperinci sebelum mengambil keputusan. Jangan ambil sebarang risiko besar berdasarkan intuisi sahaja.





Tadi saya katakan bahawa intuisi ini sentiasa menolong kita dan tidak pernah silap. Jadi jika begitu kenapa saya melarang anda mengambil sebarang risiko berdasarkan intuisi sahaja? Ini adalah kerana kadang - kadang apa yang kita anggap sebagai intuisi mungkin merupakan pendapat kita sahaja dan bukan intuisi. Jadi pendapat ini mungkin betul atau mungkin silap. Sebab itulah saya minta anda jangan mengambil sebarang risiko berdasarkan intuisi. Analisa dahulu secara lojik sebelum mengambil keputusan.





Intuisi adalah satu cara Allah menyelamatkan kita dari bahaya. Laura Day dalam bukunya Practical Intuition menceritakan bahawa pada satu ketika dia sedang perjalanan dalam sebuah kereta. Dia terlupa unuk memakai tali pinggang keselamatan. Tiba - tiba dia terdengar suara emaknya yang kuat yang menyuruhnya memakai talipinggang keselamatan. Dia terus memakai tali pinggang keselamatan. Tidak sampai pun lima minit kemudian, dia terlibat dalam satu kemalangan yang dahsyat dan hampir mengorbankan nyawanya. Tindakan mengikut arahan emaknya untuk memakai talipingganglah telah menyelamatkan nyawanya. Apa yang menghairankan adalah emaknya telah meninggal dunia 10 tahun terlebih dahulu! . Ini merupakan satu bantuan Allah melalui intuisi.

Begitu ada seorang yang memberitahu cerita dia membuat persiapan untuk berkelah ditepi pantai di Pulau Pinang beberapa tahun dahulu. Pada pagi perkelahan , dia terasa tidak sihat sedikit dan membatalkan rancangan perkelahan bersama keluarganya. Pada malam sebelumnya dia memang sihat, tetapi pada pagi perkelahan barulah dia tidak sihat. Pendekcerita, pada pagi yang sepatutnya dia berkelah itu tsunami melanda Aceh, Pulau Pinang dan negara- negara lain dan mengorbankan ratusan ribu nyawa. Kenalan saya ini telah mendapat intuisi dari Allah melalui badan yang tidak sihat dan seterusnya menyelamatkan nyawanya dan keluarganya. Pantai yang sepatutnya menjadi lokasi perkelahannya dilanda tsunami yang kuat dan mengorbankan banyak nyawa.

Ada satu ketika saya sedang berada di kedai buku MPH di SACC Mall untuk membeli buku. Saya telah pun memilih sebuah buku untuk dibeli. Walaubagaimanapun, hati saya berasa tidak sedap dan saya terasa lebih elok saya sembahyang Maghrib sebelum saya membelinya, Jadi, saya pun mengikut gerakhati saya dan sembahyang dahulu. Selepas sembahyang, saya terus masuk kekedai buku dan mengambil buku yang telah saya pilih sebelum sembahyang Maghrib untuk dibayar . Sebelum sempat saya membayarnya , saya telah terserempak dengan seorang kawan dan berboraknya. Rupanya dia pun minat membaca buku mengenai minda dan mencadangkan saya membaca buku THE KEY oleh Joe Vitale. Saya telah melihat buku tersebut dan terus membelinya. Dari buku tersebut saya telah banyak belajar teknik - teknik minda yang sangat membantu saya. Dari buku tersebut juga saya mengenali Joe Vitale, seorang penulis yang agak terkenal dan banyak menerangkan tentang perkara yang penting dan banyak teknik terkini dalam setiap bukunya.Jadi dengan mengikut gerakhati untuk sembahyang dahulu sebelum membeli buku, saya telah mendapat menafaat yang besar.

Untuk menguatkan intuisi kita selain dari latihan kita perlulah mengurangkan gelombang otak kita. Saya akan menceritakan tentang gelombang otak dalam blog mengenai meditasi nanti (insya Allah). Cuma yang kita perlu tahu gelombang otak alfa adalah gelombang otak yang rendah . Pada peringkat gelombang alfa ini kita senang mendapat intuisi. Satu cara untuk menurunkan gelombang otak kepada alfa adalah sembahyang yang khusyuk. Jadi jagalah sembahyang supaya sentiasa khusyuk (menumpukan perhatian hanya kepada Allah). Salah daripada kelebihannya adalah kita akan mendapat intuisi yang kuat yang akan membantu kita mencapai kejayaan dengan cepat.

Satu lagi cara untuk mengurangkan gelombang otak keperingkat alfa adalah dengan meditasi. Ini akan saya terangkan dalam pos mengenai meditasi (insya Allah). Buat masa sekarang latihlah intuisi anda dengan mengikut intuisi yang anda dapat. Jangan mengambil sebarang risiko berdasarkan intuisi sahaja. Buatlah analisa secara lojik dahulu sebarang mengambil sebarang keputusan. Jadikan intuisi sebagai panduan sahaja . Jagalah sembahyang supaya khusyuk kerana salah satu faedahnya adalah akan mendapat intuisi yang kuat. Amalkan meditasi setiap hari. Meditasi akan saya ajar kemudian . (insya Allah)
Maka intuisi anda akan menjadi lebih kuat dan senang mencapai kejayaan,

Insya allah pada pos akan datang saya membincang Teknik Minda pertama iaitu Bersyukur.
Sekian. Terimakasih

Rujukan : Practical Intuition .
Penulis : Laura Day
Penerbit : Villard (New York)

Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed

Tuesday, July 14, 2009

Penjelasan Saintifik- Penapis Minda RES

AssalamualaikumItalic dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi melalui pos kali ini.

Sebelum meneruskan penerangan tentang Hukum Tarikan, saya ingin menerangkan tentang satu bahagian dari minda yang memainkan peranan penting dalam hidup kita , khasnya dalam menentukan kejayaan atau kegagalan kita berdasarkan kepada corak pemikiran kita.

Ada sebahagian dari kita (termasuk saya) suka bertanya soalan ' kenapa' dan' bagaimana'. Setiap perkara akan ditanya kenapa dan bagaimana ianya berlaku. Sebenarnya sifat ingintahu ini agak penting , kerana sifat inilah yang membawa banyak penemuan baru didunia kita. Tetapi kadang - kadang kita tidak akan menemui jawapan untuk soalan 'kenapa' dan 'bagaimana' ini. Contohnya walaupun banyak perkara sudah kita fahami mengenai minda kita, masih ada banyak perkara lagi mengenai cara minda kita bekerja yang masih kita tidak faham.

Walaubagaimanapun, seperti dalam contoh suis dan lampu, walaupun kita tidak tahu apa yang berlaku setelah kita memetik suis sehingga lampu menyala, kita masih memetik suis bila kita memerlukan cahaya. Maka lampu pun menyala dan menerangi rumah kita. Dengan cara yang serupa kita perlu mengamalkan teknik minda dan kita akan berjaya, walaupun kita tidak faham 'bagaimana' dan kenapa teknik itu berkesan.

Disini saya akan menerangkan tentang sebuah bahagian minda yang penting iaitu Penapis RAS. (Reticular Activating System).Bahagian otak ini yang saya katakan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan kita bersesuaian dengan corak pemikiran kita . Penapis RAS ini berfungsi selaras dengan Hukum Tarikan dan Hukum Tindakan dan Tindakbalas .

Saya ingin mengingatkan bahawa jika anda tidak memahami penerangan dibawah , tidak mengapa. Jangan risau. Penerangan ini adalah ditujukan kepada golongan yang sering bertanya kenapa dan bagaimana tadi. Jika tidak mendapat penerangan secukupnya, golongan ini sukar sedikit untuk mengamalkan apa yang mereka pelajari. Saya berharap walaupun anda tidak memahami apa yang saya terangkan, amalkan sahaja perkara yang telah saya terangkan dan akan saya terangkan dalam pos- pos lain dalam blog ini. Maka anda akan berjaya dalam hidup anda. (insya Allah). Penerangan di bawah serupalah seperti penerangan tentang apa yang berlaku selepas suis dipetik sehingga lampu menyala dalam contoh tadi. Walaupun anda hanya tahu memetik suis, itu sudah mencukupi untuk anda menerangi hidup anda. Tak perlu anda tahu apa yang berlaku selepas suis dipetik sehungga lampu menyala. Yang penting anda perlu fahami kesimpulan yang berikan diperenggan bawah sekali pos ini.

Jika anda memahami penerangan yang saya berikan dibawah , itu lebih bagus.

Bahagian minda yang saya ingin terangkan dengan lebih lanjut adalah sebuah penapis minda. Dalam bidang saikoloji ianya dipanggil sebagai Reticular Activating System (RAS). Selepas ini saya akan merujuk kepada penapis ini sebagai penapis RAS sahaja. Penapis RAS adalah sebahagian dari minda (Otak) kita. Apakah fungsi penapis RAS ini? Untuk memahaminya saya akan berikan satu contoh.

Katakan ada seorang pemimpin penting datang ke Kuala Lumpur. Katakan semua orang di Kuala Lumpur ingin berjumpa denganbeliau. Pemimpin tersebut sudah tentu tidak dapat berjumpa dengan setiap penduduk Kuala Lumpur satu persatu. Jika semua penduduk Kuala Lumpur yang berjumlah lebih sejuta orang berpusu- pusu berjumpanya , beliau tidak dapat membuat apa- apa perkara yang berfaedah. Katakan bahawa beliau hanya dapat berjumpa tujuh orang pada satu hari.

Satu cara penyelesaian adalah dengan cara beliau melantik satu jawatankuasa yang akan menapis setiap penduduk Kuala Lumpur yang ingin berjumpa pemimpin tadi. Pemimpin tadi boleh memberikan kepada jawatankuasa tadi satu senarai syarat- syarat ( kriteria) orang yang boleh berjumpa dengannya. Jawatankuasa tadi akan menapis semua penduduk Kuala Lumpur yang berjumlah lebih sejuta tadi dan memilih tujuh orang sahaja yang menepati syarat - syarat yang ditetapkan oleh pemimpin tadi. Hanya tujuh orang ini sahaja yang akan dibenarkan berjumpa dengan pemimpin tadi. Jadi pemimpin tadi mempunyai masa untuk melakukan kerjanya. Beliau juga dapat berjumpa orang yang perlu dijumpainya iaitu orang yang memenuhi kriteria yang ditetapkannya.

Inilah sebenarnya apa yang berlaku dalam minda kita. Pemimpin tadi sebenarnya adalah minda kita. Jawatankuasa tadi adalah Penapis RAS. Pada setiap ketika minda kita menerima 2 juta input (maklumat) melalui lima deria kita .( mata, telinga, hidung, lidah dan kulit). Minda kita tidak mampu menerima dan memproses 2 juta input ini. Penapis RAS memainkan peranan penting memproses 2 juta input tadi dan memilih 7 input sahaja (seperti ahli jawatankuasa yang memproses 2 juta penduduk KL tadi dan memilih tujuh 0rang yang sesuai.). Penapis RAS akan membenarkan hanya 7 input (maklumat) ini sahaja sampai kepada minda kita.Input yang selebihnya iaitu 1, 999, 993 input lagi akan dihalang daripada sampai kepada minda kita. Jadi kita boleh lihat bahawa sebahagian besar daripada input akan ditapis daripada sampai kepada minda oleh penapis RAS.

Apakah yang menentukan input apa yang sampai kepada minda kita? Atau lebih tepat lagi apakah kriteria yang menentukan 7 input yang mana sampai kepada minda dan input yang mana ditapis keluar oleh Penapis RAS?Dalam contoh tadi , ahli jawatankuasa memilih 7 orang yang sesuai berdasarkan kriteria yang diberikan oleh pemimpin tadi. Begitu juga Penapis RAS memilih 7 input yang perlu sampai kepada minda pada satu - satu masa berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh minda kita sendiri. Arahan ini diberikan tanpa kita menyedarinya dalam bentuk beberapa perkara seperti kepercayaan, matlamat , niat dan jenis pemikiran. Perkara - perkara seperti kepercayaan, matlamat , niat , jenis pemikiran samada positif atau negatif dan emosi adalah diantara perkara yang menentukan input yang mana sampai kepada minda dan input yang mana ditapis keluar oleh Penapis RAS dan tidak sampai kepada minda.

Saya berikan satu contoh supaya lebih senang memahaminya. Katakan Osman adalah seorang peniaga dan dia percaya bahawa dia boleh berjaya dibidang perniagaan. Maka Penapis RAS akan membenarkan input yang boleh membawa kejayaan dibidang perniagaan sampai keminda Osman. Input yang membawa kegagalan akan ditapis keluar oleh Penapis RAS.Ini sesuai dengan kepercayaannya bahawa dia boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Maka jika dia berusaha, dia akan mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan tanpa banyak masalah.

Sebaliknya , katakan ada seorang lain bernama Hisam juga seorang peniaga tetapi dia percaya bahawa sangat sukar untuk berjaya dibidang perniagaan. Maka Penapis RAS nya akan membenarkan input yang akan menyusahkannya dibidang perniagaan sampai keminda sementara input yang boleh membawa kejayaan kepadanya akan ditapis keluar. Ini bersesuaian dengan kepercayaannya bahawa perniagaan adalah sukar. Maka bagi Hisam , berniaga akan menjadi sukar.

Saya berikan satu contoh lagi. Katakan Azlan mempunyai matlamat untuk membeli sebuah kereta. Maka semua input yang akan membantunya membeli kereta tadi akan sampai kepada minda Azlan. Ini termasuk input yang membawa kejayaan dibidang kewangan (supaya dia boleh mmbeli kereta idamannya) dan input yang menolongnya mencari kereta idamannya tadi. Katakan Wahid pula tiada sebarang matlamat untuk membeli kereta, maka input yang boleh membantunya membeli kereta tadi mungkin akan ditapis keluar oleh Penapis RAS dan tidak sampai ke minda Wahid. Ini adalah membeli kereta bukanlah matlamat Wahid. Maka Penapis RAS menganggap input yang boleh membantu Wahid membeli kereta tidaklah penting.Inilah sebabnya penting untuk kita mempunyai matlamat dalam hidup kita . Saya akan menerangkan tentang matlamat dan kepercayaan dalam blog- blog yang akan datang . (insya Allah)

Satu contoh lagi adalah ibu-ibu yang mempunyai anak kecil. Walaupun suaminya berdengkur macam enjin keretapi, dia mungkin masih boleh tidur . Tetapi apabila anak kecilnya menangis walaupun dengan suara yang perlahan, ibu tadi akan terjaga. Ini adalah kerana Penapis RAS ibu tadi menapis suara dengkuran tadi sebagai sesuatu yang tidak penting dan suara tangisan anak kecil tadi dianggap sebagai suatu bunyi penting yang perlu diberi perhatian.

Katakan ada seorang yang percaya bahawa dia sentiasa sihat. Maka Penapis RASnya akan membenarkan input yang akan membantunya menjadi sihat masuk dan sampai kemindanya. Contohnya input seperti tip- tip pemakanan yang baik dan cara menjaga kesihatan akan sampai kemindanya. Input yang memudaratkan dari segi kesihatan akan ditapis dan dihalang dari sampai kemindanya.

Jika ada seorang yang selalu merasakan dirinya tidak sihat maka Penapis RASnya akan membenarkan semua input yang menyebabkan dia sakit masuk. Input yang menolongnya menjadi sihat akan ditapis dan dihalang dari sampai ke mindanya. Sebab itu disamping mengambil langkah pencegahan supaya sentiasa sihat, penting untuk kita percaya kita akan sentiasa sihat.

Katakan ada sepasang kekasih bernama Uda dan Dara. Jika Dara terlalu sayang pada Uda dan menganggap sebagai Uda lelaki yang sangat baik, maka apa sahaja kesalahan yang dibuat oleh Uda akan ditapis oleh Penapis RAS Dara dari sampai kemindanya . Kesalahan ini tidak akan dilihat sebagai kesalahan oleh Dara . Sebaliknya jika Uda membuat sedikit kebaikan sahaja ianya akan dibenarkan sampai ke minda Dara oleh Penapis RAS Dara. Jadi Dara akan nampak setiap kebaikan Uda dan tidak nampak sebarang kesilapan Uda. Sebab itulah dikatakan cinta itu buta. Begitu juga jika Uda menyintai Dara, dia akan nampak setiap kebaikan Dara dan tidak nampak langsung perangai Dara yang kurang sesuai. Jadi pasangan yang akan berkahwin , cubalah minta pandangan orang lain tentang bakal pasangan anda. Jika menerima pendapat yang berbeza dari pandangan anda, janganlah terus menolak atau menerima pandangan tersebut. Cubalah selidiki samada pandangan orang lain ada kebenarannya.Barulah membuat keputusan tentang perkahwinan. Ini akan mengelakkan banyak masalah selepas perkahwinan.

Begitu juga ibubapa yang terlampau sayang akan anak- anak mereka. Penapis RAS mereka akan menapis keluar semua kesalahan anak mereka dari sampai keminda mereka . Semua kebaikan anak mereka akan masuk dan sampai kepada perhatian minda mereka. Jadi mereka akan dapati anak mereka sentiasa bagus. Jika ada guru memanggil ibubapa kesekolah dan memberitahu kesalahan anak mereka, ibubapa perlulah menyelidiki samada apa yang dikatakan oleh guru ada kebenarannya. Ibubapa janganlah terus memarahi guru dan menyalahkan murid lain . Ini adalah untuk kebaikan anak kita.

Katakan ada seorang yang membenci seorang atau satu golongan lain. Maka dia akan nampak segala kesilapan orang atau golongan yang dibencinya. Dia tidak akan nampak kebaikan orang atau golongan tersebut. Contohnya , saya pernah berjumpa seorang yang percaya bahawa semua orang kaya adalah jahat. Maka apabila seorang kaya berbuat jahat, maka Penapis RASnya akan membenarkan input ini saampai kemindanya. Maka dia akan nampak kejahatan orang kaya tersebut. Jika ada orang kaya membuat kebaikan pula, maka Penapis RASnya akan menapis input tentang kebaikan orang kaya tersebut dari sampai ke mindanya. Maka dia tidak akan nampak kebaikan orang kaya tersebut. Mungkin dia akan mengatakan orang kaya tersebut sengaja membuat kebaikan untuk mencari publisiti. Walaupun ada orang kaya yang membuat 10 kebaikan pun dia tidak akan nampak. Kerana semua kebaikan ini ditapis oleh Penapis RAS nya dan dihalang dari sampai kemindanya. Ini adalah kerana dia percaya semua orang kaya adalah jahat. Jika ada orang kaya yang membuat satu kesalahan pun, dia akan terus nampak. Kepercayaannya bahawa orang kaya adalah jahat akan menjadi semakin kuat. Maka dia akan menemui lebih banyak orang kaya yang akan menyusahkan hidupnya. Selagi dia tidak menukar kepercayaan bahawa semua orang kaya adalah jahat , selagi itulah dia akan menerima masalah melalui orang kaya. Saya akan menerangkan lagi dalam blog mengenai kepercayaan. (insya Allah)


Kesimpulan
Corak pemikiran yang betul seperti pemikiran positif, kepercayaan yang betul, tumpuan pada perkara positif dan mempunyai matlamat dalam hidup akan membawa kejayaan dalam hidup kita selaras dengan dua hukum yang ditetapkan oleh Allah iaitu Hukum Tarikan dan Hukum Tindakan dan Tindakbalas.

Pos kali ini agak panjang tetapi ianya perlu kerana pos ini akan menjadi asas untuk pos - pos yang akan datang. Jika ada apa- apa nasihat saya menyinggung perasaan anda, saya ingin meminta maaf. Ianya adalah kebaikan kita bersama.
Pada pos akan datang saya akan membincangkan tentang topik Intuisi .(insya Allah)

Buku Rujukan -
Neuro-linguistic Programming for Dummies. Romilla Ready and Kate Burton
Penerbit- John Wiley & Sons
Dr. Mohamed Farook b. Raj Mohamed

Tuesday, July 7, 2009

Hukum Tarikan (bhgn 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi pada pos kali ini.


Saya ingin menyambung penerangan tentang hukum tarikan. Secara ringkasnya Hukum Tarikan mengatakan bahawa apabila kita berfikiran positif , kita akan menghasilkan getaran positif dan seterusnya menarik perkara - perkara yang positif ke dalam hidup kita. Begitu juga seorang yang berfikiran negatif akan menghasilkan getaran negatif dan seterusnya menarik perkara - perkara negatif ke dalam hidupnya.


Perkara- perkara negatif yang saya maksudkan adalah masalah- masalah yang timbul dalam hidup kita. Dalam blog nasihat yang sangat penting (bhgn 1) saya ada menceritakan bahawa semua masalah berpunca dari 2 sumber sahaja iaitu Allah ( berupa teguran dan ujian ) dan kita sendiri. Pemikiran negatif kitalah yang menyebabkan masalah dalam hidup kita. Dalam blog yang sama saya ada menerangkan bahawa semua peristiwa yang berlaku didunia seperti kemelesetan ekonomi, kenaikan harga minyak, pengangguran, kenaikan harga barang, masalah dengan majikan, pekerja, rakan kongsi, suami atau isteri , anak- anak, kemalangan , kecurian dan seribu satu peristiwa negatif bukanlah punca sebenar masalah. Ianya adalah peristiwa yang menghantar masalah kepada kita (seperti contoh posmen yang menyampaikan kiriman wang kepada penuntut dalam blog ' nasihat yang sangat penting bahagian 1 ') .

Pemikiran negatiflah yang merupakan punca sebenar banyak masalah yang kita hadapi dalam hidup kita. Punca masalah yang lain adalah teguran dan ujian dari Allah dan balasan Allah untuk perkara negatif yang dilakukan oleh seseorang ( iaitu Hukum Tindakan dan Tindakbalas)


Saya rasa sekarang anda boleh membuat kesimpulan bagaimana kita hendak menggunakan Hukum Tarikan supaya sentiasa berjaya dalam kehidupan. Kita hendaklah sentiasa memastikan fikiran kita sentiasa positif . Fikiran positif ini menghasilkan getaran positif dan seterusnya sentiasa menarik perkara positif kedalam hidup kita. Kita juga perlu menjaga supaya minda kita sentiasa bebas dari fikiran yang negatif. Ingat bahawa minda kita hanya boleh menghasilkan satu jenis getaran sahaja pada satu masa. Jika kita dapat menjaga minda kita supaya sentiasa berfikiran positif, maka minda kita akan bebas dari berfikiran negatif. Cara untuk menjaga minda kita supaya berfikiran positif akan saya jelaskan dalam blog akan datang (insya Allah)

Saya cuba berikan satu contoh tentang hukum tarikan supaya lebih senang difahami. Katakan anda mempunyai perkhidmatan Astro dirumah anda. Diruang udara disekitar kita , terdapat berbagai- bagai jenis gelombang seperti gelombang bunyi, gelombang cahaya dan gelombang beberapa saluran radio, tv dan berbagai saluran Astro. Antena Astro yang diletak dibumbung atau tempat yang tinggi akan menerima semua jenis gelombang ini.

Walaubagaimanapun, jika kita memilih saluran 105 pada dekoder Astro, kita hanya akan menerima siaran Astro Prima. Jika kita cuba menonton siaran lain seperti saluran Astro Oasis tanpa mengubah saluran pada dekoder , kita tidak akan berjaya. Walaupun apa sahaja yang kita lakukan seperti mengawal suara, mengawal warna atau lain- lain usaha dilakukan, kita tidak akan mendapat menonton siaran Astro Oasis. Satu- satunya cara untuk kita dapat menonton siaran Astro Oasis adalah dengan menukar saluran pada dekoder Astro dari 105 kepada saluran 106. Selepas menukar saluran dari 105 ke 106, kita dengan mudahnya akan mendapat saluran Astro Oasis.

Begitu juga minda kita. Apabila seseorang mempunyai pemikiran negatif, dia akan menarik kedalam hidupnya perkara- perkara negatif iaitu masalah- masalah. Untuk menarik perkara- perkara positif ke dalam hidupnya ( iaitu untuk menarik kejayaan) dia perlulah menukar cara pemikirannya menjadi positif. Ini serupalah seperti menukar saluran pada dekoder Astro tadi. Selepas menukar saluran menjadi 106 , barulah dia mendapat saluran yang diingininya iaitu Astro Oasis. Kita bebas memilih jenis pemikiran yang kita kehendaki, seperti kita bebas memilih saluran pada dekoder Astro tadi. Jadi pilihlah jenis pemikiran yang mendatangkan kejayaan iaitu pemikiran positif. Cara untuk menukar pemikiran yang negatif menjadi positif akan saya terangkan dalam blog- blog yang akan datang. ( insya Allah)

Antena Astro tadi menerima semua jenis gelombang termasuk gelombang bunyi, cahaya , semua jenis gelombang Astro dan sebagainya. Antena ini akan menarik gelombang yang sesuai dengan saluran yang dipilih pada dekoder dan mengalirkannya kepada dekoder. Seterusnya kita dapat menonton saluran yang kita kehendaki. Ada satu bahagian dari otak yang berfungsi yang berfungsi sama seperti antena Astro tadi. Dalam bidang saikoloji , bahagian ini dipanggil Reticular Activation System . Saya akan memanggilnya dengan singkat sebagai penapis RAS selepas ini dalam blog- blog yang akan datang. Penapis Ras berfungsi untuk menarik perkara - perkara yang sesuai dengan pemikiran kita ke dalam hidup kita. Selaras dengan Hukum Tarikan, jika kita berfikiran positif penapis RAS ini akan menarik perkara positif iaitu kejayaan ke dalam hidup kita. Jika seseorang berfikiran negatif, penapis RAS ini akan menarik perkara negatif kedalam hidupnya. Saya akan menerangkan tentang Penapis RAS dengan lebih lanjut dalam blog akan datang . (insya Allah)

Jika anda tidak memahami contoh yang saya berikan di atas , tidak mengapa. Yang penting , anda hanya perlu faham bahawa pemikiran yang positif akan menarik kejayaan kedalam kehidupan kita dan pemikiran yang negatif pula akan menarik masalah kedalam kehidupan kita. Jadi , jika kita menjaga pemikiran kita supaya sentiasa positif, kita akan sentiasa berjaya dalam semua aspek dan bebas dari segala masalah.

Disini saya akan berikan beberapa contoh fikiran yang positif dan negatif.

Contoh fikiran yang Positif

1. Bersyukur
Bersyukur kepada Allah merupakan pemikiran yang positif dan menghasilkan getaran positif. Bersyukur merupakan salah satu cara terbaik untuk menghasilkan getaran positif dan seterusnya menarik perkara - perkara positif dan rahmat dan pertolongan Allah kedalam hidup kita. Jadi pastikan kita sentiasa bersyukur kepada Allah. Saya akan menerangkannya dengan lebih lanjut dalam blog mengenai bersyukur nanti kerana ini adalah topik yang sangat penting. (insya Allah)

2. Menumpukan perhatian ( fokus) pada perkara yang positif
Menumpukan perhatian kepada perkara yang positif akan menghasilkan getaran positif dan menarik perkara positif kedalam hidup kita. Sebaliknya menumpukan pada perkara yang negatif akan menghasilkan getaran negatif dan menarik masalah kedalam hidup kita.Ini akan saya terangkan dalam blog khas kerana ini juga merupakan satu topik yang sangat penting.(insya Allah)

3. Kepercayaan
Kepercayaan kita sangat - sangat mempengaruhi getaran yang kita hasilkan. Ini juga akan saya terangkan dalam blog mengenai kepercayaan.(insya Allah)

4. Merasa gembira melihat kejayaan orang lain
Apabila seseorang gembira melihat kejayaan orang lain walaupun orang yang berjaya itu adalah saingannya dalam perniagaan atau dunia pekerjaan, maka orang itu akan menghasilkan getaran positif dan seterusnya menarik kejayaan dalam hidupnya. Ucapkanlah tahniah kepada orang berjaya . Beritahulah mereka anda juga berhasrat untuk berjaya seperti mereka. Anda akan dapati anda akan berjaya tidak lama lagi. Topik ini saya rasa tidak memerlukan penjelasan lanjut lagi. Saya harap anda sudah faham.

Contoh Fikiran Negatif

1.Tidak Bersyukur

2. Menumpukan Perhatian pada perkara yang negatif

3. Kepercayaan yang negatif

Ketiga- tiga perkara ini saya akan terangkan lebih lanjut dalam pos- pos yang akan datang. (insya allah)


4. Hasad dengki melihat kejayaan orang lain.
Seorang yang irihati dan hasad dengki melihat kejayaan orang lain akan menghasilkan getaran negatif. Ini akan mendatangkan lebih banyak masalah dalam hidupnya. Sebaliknya , seorang yang gembira melihat kejayaan orang lain akan menghasilkan getaran positif dan seterusnya menarik kejayaan kedalam hidupnya ( seperti yang saya ceritakan di atas). Jadi kita perlulah sentiasa gembira melihat kejayaan orang lain.

Sekian.
Dr. Mohamed Farook bin Raj Mohamed


Saturday, July 4, 2009

Hukum Tarikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi dalam pos kali ini.

Sudah sampai masanya untuk saya mula menerangkan tentang salah satu dari dua hukum Allah yang penting yang sentiasa mempengaruhi kehidupan kita, samada kita sedar mengenainya atau tidak. Sekarang kita berpeluang untuk mengubah pemikiran kita supaya boleh mendapat menafaat dari hukum tersebut dan sentiasa meraih kejayaan melalui usaha kita.

Hukum pertama yang ingin saya terangkan adalah HUKUM TARIKAN .
Hukum ini dikenali oleh manusia secara rasmi lebih kurang seratus tahun dahulu melalui penulisan William Atkinson melalui bukunya Thought Vibration. Namun ia tidak begitu popular sehinggalah Rhonda Bryne menggemparkan duni melalui bukunya THE SECRET dan filem THE SECRET pada tahun 2006. Walaupun ia mendatangkan satu perubahan besar didunia Barat, malangnya di Malaysia sendiri tiada banyak liputan mengenainya. Misalnya salah satu slot tv yang sangat popular di barat iaitu THE OPRAH WINFREY SHOW selalu menemuramah orang yang boleh menerangkan tentang hukum tarikan. Saya belum pernah melihat hukum ini dibincangkan dalam kaca tv kita. Harapan saya semoga jika ada orang yang terlibat dibidang media massa, mulalah memaparkan tentang hukum ini supaya lebih ramai yang mendapat menafaat darinya.

Hukum ini sebenarnya sudah pun diketahui lebih awal lagi sebelum ditulis oleh William Atkinson 100 tahun dahulu. Ianya diketahui oleh golongan raja, pembesar dan bangsawan dan hanya diajar kepada anak- anak mereka. Anak- anak mereka yang sudah mengetahui hukum ini akan menjadi raja, pembesar atau bangsawan. Anak - anak golongan bawahan yang tidak mengetahui hukum ini akan terus menjadi buruh dan bekerja untuk golongan atasan tadi. Filem The Secret menggambarkan hukum ini sebagai sesuatu rahsia besar yang dikawal ketat. Sekarang kita berpeluang untuk mempelajarinya. Janganlah mensia- siakan peluang ini.

Golongan yang mengetahui hukum tarikan juga merupakan golongan yang mempengaruhi sejarah dunia, Contohnya adalah Socrates, Shakepeare, Mahatma Ghandi, Henry Ford dan ramai lagi. Ini dapat dilihat dari penulisan dan percakapan mereka.

Hukum Tarikan

Apakah itu hukum tarikan? Secara ringkasnya hukum tarikan menyatakan bahawa kita menarik kedalam hidup kita apa yang kita fikirkan.
Apabila kita fikir tentang perkara yang positif, kita menarik perkara positif kedalam hidup kita.
Apabila kita fikir tentang perkara yang negatif, kita juga menarik kedalam hidup kita perkara negatif tadi.
Apabila kita berfikir tentang perkara yang kita ingini, kita menarik perkara tadi kedalam hidup kita,
Apabila kita berfikir tentang perkara yang kita takuti , kita juga akan menarik perkara tersebut kedalam hidup kita.

Pendekata, kita akan menarik kedalam hidup kita apa sahaja yang kita fikirkan samada perkara itu positif atau negatif, samada perkara itu sesuatu yang kita hendak atau takuti.

Penjelasan Saintifik
Kita sentiasa berfikir. Fikiran kita ini menghasilkan gelombang . Gelombang ini terbahagi kepada dua jenis sahaja ( dalam konteks hukum tarikan ini ) iaitu gelombang positif dan gelombang negatif. Pada satu - satu masa , otak kita akan menghasilkan satu jenis gelombang sahaja. Jika pemikiran kita positif , kita akan menghasilkan gelombang positif seratus peratus. Jika pemikiran kita negatif, kita akan menghasilkan gelombang negatif seratus peratus. Kita tidak boleh menghasilkan gelombang positif 70 peratus dan gelombang negatif 30 peratus dan sebagainya. Gelombang yang kita hasilkan adalah samada positif sepenuhnya (100 peratus ) atau negatif sepenuhnya (100 peratus).

Jenis gelombang adalah bergantung kepada corak pemikiran kita. Pemikiran positif menghasilkan gelombang positif . Pemikiran negatif pula menghasilkan gelombang negatif. Jenis gelombang ini boleh dikenali melalui alat perubatan moden seperti EEG. Pemikiran positif menghasilkan gelombang positif yang dilihat sebagai corak gelombang yang cantik dalam EEG. Pemikiran negatif pula menghasilkan gelombang negatif yang dilihat sebagai corak yang bercelaru dan tidak teratur dalam EEG. Saya rasa saya tidak perlu menerangkan tentang EEG dengan lebih lanjut, kerana ia tidak perlu untuk kita memahami hukum tarikan. Saya menerangkan tentang EEG kerana kita perlu sedar bahawa apa yang saya terangkan adalah sesuatu yang boleh dibuktikan melalui sains dan tidak perlu diragui lagi.

Insya Allah saya akan menyambung penerangan saya tentang Hukum Tarikan dalam blog akan datang.

Dr. Mohamed Farook bin Raj Mohamed

Penjelasan Saintifik ( bhgn 2) -Dua Hukum yang penting

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi kali ini.

Saya ingin menerangkan tentang dua hukum Allah yang mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita. Dua hukum ini sama seperti hukum graviti merupakan hukum fizik .Dengan lebih tepat lagi ia tertakluk dibawah hukum kuantum fizik.

Dua hukum itu adalah
1. Hukum Tarikan ( Law of Attraction)
2. Hukum Tindakan dan Tindakbalas ( Law of Action and Reaction)

Memahami dan mengamalkan kedua- dua hukum ini akan memberikan kita corak pemikiran yang sesuai untuk menjana kejayaan dalam semua aspek kehidupan kita termasuk kejayaan kewangan , hubungan dan kesihatan. Pendekata, dengan mengetahui dan mengamalkan dua hukum ini , kita bebas dari masalah dunia dan boleh menumpukan perhatian untuk mendapat kejayaan di akhirat dengan mematuhi suruhan dan menjauhi larangan Allah.

Hukum Tarikan
Hukum ini tidak dikenali ramai. Hanya segelintir manusia khasnya di barat yang mengetahui hukum ini. Dari segelintir inipun, hanya sebahagian kecil yang mengetahuinya secara sepenuhnya. Saya akan menceritakan tentang hukum ini diblog akan datang. (insya Allah)

Hukum Tindakan dan Tindakbalas.
Jika yang mengetahui tentang hukum penarikan adalah segelintir sahaja, orang yang mengenali hukum tindakan dan tindakbalas juga sangat kurang. Kita akan melihat hukum ini dengan lebih terperinci dalam blog kebajikan dan hukum tindakan dan tindakbalas. ( insya Allah)

Dengan mengetahui dan mengamalkan kedua dua hukum ini dalam hidup kita, kita akan mempunyai corak pemikiran yang sesuai dan menjadi bebas dari segala masalah. Kita akan menjadi seperti orang yang berkereta dalam pos nasihat yang sangat penting. Segala usaha kita akan mendapat hasil yang banyak berbanding dengan orang yang tidak mengetahui dan mengamalkan hukum ini. Kita senang mencapai kejayaan dalam apa sahaja usaha yang kita buat. Kita juga akan mendapat bantuan Allah dalam segala usaha kita.

Sila ambil perhatian bahawa samada kita mengetahui atau tidak hukum ini, kita tetap tertakluk pada kedua dua hukum ini, sama seperti kita tertakluk kepada hukum graviti samada kita mengetahui tentang hukum graviti atau tidak.Jika kita tidak mengetahui kedua dua hukum ini, kita akan sering mengalami masalah dalam hidup kita. Masalah bukanlah berpunca dari Allah ( lihat pos nasihat yang sangat penting ) tetapi dari kita sendiri kerana tidak memahami kedua- dua hukum ini.

Dalam pos 'nasihat yang sangat penting (bhgn 1) ' saya ada menyatakan bahawa masalah yang berpunca dari Allah sebenarnya adalah teguran atau pun ujian untuk kita. Masalah yang berpunca dari kita juga merupakan 2 jenis juga iaitu

1. Pertama masalah yang berpunca dari sebab kita tidak memahami Hukum Tarikan
Seorang yang tidak memahami hukum Tarikan dan sentiasa berfikiran negatif akan menarik ke dalam hidupnya perkara yang negatif. Ini kita akan lihat dengan lebih jelas dalam blog mengenai Hukum Tarikan. (insya Allah)

2. Kedua seorang yang tidak memahami Hukum Tindakan dan Tindakbalas
Seorang yang tidak memahami Hukum Tindakan dan Tindakbalas dan sering melakukan perkara yang negatif yang memberi kesan negatif (merugikan) orang lain akan mengalami banyak masalah dalam hidupnya. Ini kita akan lihat dengan lebih jelas dalam blog hukum tindakan dan tindakbalas . (insya Allah)


Insya Allah pada akan datang kita akan lihat tentang hukum penarikan dengan lebih dalam.

Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed