Monday, August 17, 2009

BERSYUKUR-Teknik Minda Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Ayat Al Quran
" Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu " ( QS Ibrahim : 7 )





Sejak sekian lama , syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi kali ini. Kita perlulah sentiasa bersyukur dalam semua keadaan walau apapun yang berlaku kepada kita. Kita perlulah bersyukur untuk setiap kejayaan yang kita capai samada kecil atau besar. Kita juga perlu bersyukur bila kita ditimpa kesusahan kerana kesusahan mungkin ada kebaikan untuk kita. Kita juga perlu bersyukur kerana kesusahan itu tidak lebih besar dari itu dan kita boleh kita atasi . Misalnya seorang yang kerugian seratus ringgit perlulah bersyukur kerana dia hanya rugi seratus ringgit dan bukan dua ratus ringgit. Maka dia akan menarik perkara positif dan bantuan Allah . Dia akan mengatasi masalah tersebut dengan senang. Pada masa yang sama dia haruslah berjaga supaya dia tidak mengulangi kesilapan yang sama dan rugi lagi dimasa hadapan. Sebaliknya , jika orang itu marah , sedih dan geram kerana kerugian seratus ringgit tadi, maka dia akan menghasilkan getaran yang negatif (Hukum Tarikan). Ini tidak akan membantunya mengatasi masalah tadi. Sebaliknya masalah lain akan timbul kerana getaran negatif yang dihasilkannya tadi.



Cerita Ketiga : Menteri dan Raja



Ada seorang Menteri yang sentiasa bersyukur. Pada satu ketika raja sedang memotong kulit buah epal. Beliau terluka jarinya dan jarinya berdarah. Maka menteri tadi berkata syukur kepada Allah . Maka Raja tadi marah kerana menteri itu bersyukur padahal jarinya luka. Maka dia memenjarakan menteri tadi. Tidak lama selepas itu , Raja tadi pergi berburu dengan pengawal- pengawalnya. Beliau terpisah dari pengawalnya semasa mengejar seekor kijang. Beliau telah ditangkap oleh orang asli. Orang Asli tersebut membuat keputusan untuk mengorbankan beliau untuk tuhan mereka. Orang Asli menyerahkan Raja tadi kepada tok sami mereka untuk dikorbankan. Sebelum dikorbankan, tok sami memeriksa Raja tadi dan menjumpai jarinya yang luka. Tok Sami membuat keputusan bahawa Raja tadi tidak layak untuk dikorbankan untuk tuhan mereka. Orang Asli pun membebaskan Raja tadi. Raja telah mencari jalan keluar dan akhirnya berjaya sampai ke istana.



Beliau telah membebaskan menteri tadi dari penjara. Beliau meminta maaf kepada menteri. Beliau berkata " Betullah kata kamu. Saya sepatutnya bersyukur kerana jari saya luka. Jika tidak, sudah tentu saya sudah dikorbankan oleh orang asli. Saya meminta maaf kerana memenjarakan kamu". Menteri itu menjawab " Syukur alhamdulillah kerana tuanku memenjarakan saya. Jika tidak ,sudah tentu saya mengikut tuanku pergi berburu. Kemungkinan besar saya pun mungkin telah ditangkap oleh orang asli bersama tuanku. Sudah tentu saya sudah dikorbankan oleh orang asli kerana saya tidak mempunyai sebarang kecacatan. Jadi sebab itu saya berkata syukur kerana tuanku memenjarakan saya"



Jadi kita perlulah bersyukur dalam setiap ketika.





Seorang yang jatuh dari tangga misalnya, jika dia bersyukur kerana dia jatuh tetapi tidak mengalami luka, maka dia akan menghasilkan getaran positif (Hukum Tarikan) dan dia akan selamat. Sebaliknya jika dia marah dan geram kerana dia jatuh dari tangga, maka dia akan menghasilkan getaran negatif. Maka dia akan mengalami masalah lain. Contohnya tangga akan jatuh menimpanya. Jadi kita perlulah memastikan bahawa kita sentiasa bersyukur dalam setiap keadaan walaupun susah atau senang.





Bersyukur - Penjelasan saintifik


Jika kita sentiasa bersyukur kita akan menghasilkan getaran positif. Getaran ini akan menarik perkara positif dan bantuan Allah kedalam hidup kita . Ini sesuai dengan apa yang dikatakan oleh Allah dalam Ayat Alquran diatas.



Bersyukur menimbulkan satu emosi positif

Ramai yang berkata syukur dengan mulut sahaja tetapi tidak merasa apa- apa emosi yang positif. Ini adalah kerana mereka hanya bersyukur dengan mulut tetapi tidak bersyukur dalam hati mereka. Apabila bersyukur dengan hati , ini akan menghasilkan satu emosi positif seperti rasa lega, gembira, lega senang hati dan sebagainya. Inilah yang dikatakan bersyukur dengan hati. Allah hanya akan melihat apa yang ada dalam hati , bukan apa yang kita sebut.



Dari segi hukum tarikan , emosi positif ini menandakan bahawa kita sedang menghasilkan getaran positif dan seterusnya menarik perkara yang positif kedalam hidup kita. Emosi negatif menandakan kita sedang menghasilkan getaran negatif. Seterusnya kita menarik masalah kedalam hidup kita.Ini akan saya terangkan dengan lebih lanjut dalam blog mengenai emosi nanti ( insya allah). Jadi pastikan apabila kita bersyukur, rasa syukur itu mesti diiringi dengan emosi positif seperti rasa gembira, lega , senang hati dan sebagainya.



Bersyukur Sekarang Dengan Apa Yang ada

Ada juga yang berkata saya akan bersyukur bila saya mendapat sesuatu. Contohnya ada yang berkata saya akan bersyukur bila mendapat kenaikan pangkat, wang yang banyak, sudah mendapat anak ( bagi mereka yang tiada anak) dan sebagainya.



Sila anda lihat kepada ayat Alquran diatas. Ayat ini jelas mengatakan bahawa kita perlu bersyukur sekarang, maka Allah akan menambah lagi. Kita hendaklah bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang. Barulah kita akan menghasilkan getaran positif dan seterusnya akan mencapai apa yang kita kehendaki. Apabila kita bersyukur, maka kita boleh mendapat kenaikan pangkat dengan cepat, wang yang banyak dan anak seperti yang kita kehendaki. Sebaliknya, jika kita menunggu sehingga kita mendapat apa yang kita kehendaki sebelum kita bersyukur, maka amat sukar untuk mendapat apa yang kita kehendaki. Jadi mulalah bersyukur dengan apa yang ada pada kita, maka kita akan mencapai matlamat kita dengan senang. Pastikan rasa bersyukur ini mesti menghasilkan emosi positif, barulah bermakna kita bersyukur dengan hati dan bukan setakat kata bersyukur sahaja.



Seorang yang mempunyai motosikal dan ingin membeli sebuah kereta, maka dia perlulah bersyukur dengan motosikal yang dipunyainya. Pada masa yang sama dia perlu mempunyai matlamat untuk membeli kereta. Maka dia akan dapat membeli kereta tadi dengan mudah. Sebaliknya , jika marah dan geram kerana hanya mempunyai motosikal , dia akan menghadapi kesukaran untuk memiliki kereta tadi.



Bersyukur dan seterusnya Berusaha



Baesyukur bukanlah bermakna kita tidak perlu berusaha untuk mencapai matlamat kita. Kita bersyukur dengan apa yang ada pada kita sekarang, pada masa yang sama kita hendaklah berusaha untuk mencapai matlamat dengan sebaik mungkin.



bersambung.
Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed

Kelewatan menulis

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kebelakangan ini saya sudah jarang menambah pos baru. Ini adalah kerana sejak tercetusnya wabak H1N1 , saya begitu sibuk sekali dan tidak dapat menulis. Insya allah saya akan mula menulis kembali bila saya berkesempatan , paling lewat selepas hari raya Aidil fitri pada 20.09.09. Jika berkesempatan saya akan menulis lebih awal. Saya harap anda akan bersabar dan tidak lupa untuk kembali membaca blog ini.

Sekian terimakasih