Saturday, June 25, 2011

Matlamat Bhgn 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

4.MASA
Kita perlu menentukan jangkamasa yang kita perlukan untuk mencapai matlamat tadi. Contohnya “ Saya nak simpanan sebanyak RM 30,000 di bank “ lebih sesuai disebut “ Saya nak simpanan sebanyak RM 30,000 dibank pada 31.12.2011 atau sebelumnya”.

Sila beri perhatian kepada beberapa perkara.
1) Saya gunakan istilah “ atau sebelumnya “ pada hujung matlamat tersebut. Ini adalah kerana mungkin Allah ( tuhan ) berniat memberikan kepada kita apa yang kita minta sebelum tarikh yang kita tetapkan . Tetapi oleh kerana kita sendiri sudah menetapkan tarikhnya, maka kita perlu menunggu sehingga tarikh tersebut sampai sebelum matlamat tercapai. Jadi kita perlu masukkan istilah “ atau sebelumnya “ supaya matlamat tersebut boleh dicapai secepat mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga tarikh yang kita tetapkan.

2) Saya gunakan satu tarikh yang tetap dan bukannya satu jangkamasa seperti 6 bulan atau satu tahun. Katakan matlamat anda berbunyi “ Saya nak simpanan sebanyak RM 30,000 dibank dalam masa 6 bulan atau sebelumnya “ . Ini adalah satu kesilapan yang besar. Bilakah masa 6 bulan dari sekarang? Sekarang adalah bulan Jun 2011. 6 bulan dari sekarang adalah bulan Disember 2011. Pada bulan Julai 2011, masa “6 bulan dari sekarang” akan menjadi bulan Januari 2012. Begitulah seterusnya. Masa “ 6 bulan dari sekarang “ akan terus berganjak setiap bulan. Jadi anda perlulah menentukan satu tarikh dan bukannya satu jangkamasa.

Seorang pakar motivasi yang terkenal di Australia merupakan pengasas ‘Timeline Therapy’. Beliau mengenakan bayaran RM 10,000 untuk kursus beliau selama 3 hari. Beliau menceritakan pengalaman beliau melakukan kesilapan yang serupa apabila membuka sebuah perniagaan. Beliau membuat matlamat bahawa perniagaannya akan menjadi untung dalam masa 6 bulan!. Malangnya , 3 tahun berlalu dan perniagaanya masih kerugian. Apabila beliau menyedari kesilapannya dan menukar matlamatnya kepada satu tarikh 6 bulan kedepan, beliau berjaya meraih keuntungan yang besar sebelum tarikh yang ditetapkannya sampai.

3) Tarikh yang anda tetapkan perlulah sesuai dengan matlamat anda. Jika matlamat anda adalah besar seperti membeli rumah , mungkin anda memerlukan masa yang lebih lama dari masa yang anda perlu untuk membeli sebuah kereta.



Contoh Matlamat
1) Saya nak pendapatan bulanan sebanyak RM 5000 sebulan pada 31.12.2011 atau sebelumnya
2) Saya nak membeli sebuah kereta BMW 525 ( sebutkan spesifikasi model ) pada 31.12.2012 atau sebelumnya.
3) Saya nak membeli sebuah rumah ( sebutkan spesifikasi rumah ) pada 31.12.2013 atau sebelumnya.

Matlamat Jangkamasa Panjang & Pendek
Matlamat boleh dibahagikan kepada jangkamasa panjang dan pendek. Biasanya matlamat akan dibahagikan kapada
1) Jangkama Pendek – 6 bulan hingga 1 tahun
2) Jangkamasa Sederhana – 2 tahun
3) JangkaMasa Panjang - 5 tahun hingga 10 tahun

Ini adalah satu panduan sahaja. Anda bebas menentukan jangkamasa yang sesuai untuk anda. Juga jangan lupa bila menyebut matlamat anda , jangan sebutkan jangkamasa tetapi sebutkan tarikh yang sesuai.

Matlamat jangkamasa pendek dan sederhana mestilah sesuai dan selaras dengan matlamat jangkamasa panjang. Jika seorang pelajar yang mempunyai matlamat jangkamasa panjang untuk menjadi seorang pakar perubatan , maka matlamat jangkamasa pendeknya adalah untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan sekolahnya.

Seorang yang mempunyai matlamat jangkamasa sederhana untuk membuka perniagaan restoran yang maju, maka matlamat jangkamasa pendeknya mungkin untuk belajar teknik memasak, mengambil kursus perakaunan dan mengumpulkan wang untuk membuka restoran.Begitulah seterusnya.

5.KEPERCAYAAN
Kita perlulah percaya matlamat tersebut boleh dicapai. Ini adalah aspek yang paling penting. Kita boleh membuat berbagai matlamat tetapi jika kita sendiri tidak percaya kita boleh mencapai matlamat tersebut, agak sukar untuk kita mencapai matlamat tersebut.

Cara untuk memilih matlamat sesuai dengan kepercayaan
1. Katakan seorang itu memiliki pendapatan bulanan RM 3,000 sebulan . Dia boleh membuat matlamat untuk mencapai pendapatan RM 20,000 sebulan pada 31.12.2011. ( sekarang adalah bulan Jun 2011) . Tetapi dia jika dia merasakan matlamat memiliki pendapatan bulanan RM 20,000 sebulan adalah mustahil, maka dia akan mendapati agak sukar untuk mencapainya. Maka dia boleh mengurangkan jumlahnya menjadi RM 10,000 sebulan. Jika dia mendapati jumlah RM 10,000 juga sangat sukar, maka dia boleh memilih RM 5,000 sebagai matlamatnya. Jika dia memilih RM5,000 terus sebagai matlamatnya, mungkin dia akan mengalami sedikit masalah untuk mempercayai dia boleh mencapainya. Jadi pilih matlamat yang besar dan kurangkan sedikit demi sedikit sehingga boleh mempercayai bahawa matlamat itu boleh dicapai. Ini sebenarnya adalah kerana Minda Bawah Sedar akan membayangkan matlamat RM 5,000 tadi dengan RM 20.000 tadi dan mempercayai ia adalah jumlah yang kecil dan boleh dicapai. Jika memilih terus RM 5,000 sebagai matlamat pendapatan bulanan, ia mungkin nampak terlalu besar kerana Minda Bawah Sedar akan membandingkan RM 5,000 tadi dengan pandapatan sekarang ( RM 3,000).

2. Kita mempunyai pilihan samada untuk mengurangkan jumlah pendapatan bulanan tadi atau memanjangkan jangkamasa yang diperlukan untuk mencapainya.

3. Walaubagaimanapun , jika memilih untuk memanjangkan jangkamasa , matlamat tadi akan menjadi matlamat jangkamasa sederhana atau panjang . Jadi sediakan matlamat jangkamasa pendek untuk yang selaras dengan matlamat jangkamasa panjang tadi. Contohnya anda memerlukan masa 3 tahun untuk mencapai pendapatan bulanan RM 20,000 , jadikan pendapatan bulanan RM 5,000 sebagai matlamat jangkamasa pendek anda. Jika matlamat anda adalah untuk memiliki sebuah rumah banglo dalam masa 5 tahun, matlamat anda mungkin untuk memiliki pendapatan bulanan RM 5,000 dalam masa 6 bulan dan RM 20,000 sebulan dalam masa 3 tahun.

4. Apabila pendapatan RM 5,000 sebulan sudah dicapai, maka maka naikkan matlamat anda menjadi pendapatan bulanan RM 10,000 sebulan atau jumlah yang anda rasa sesuai. Bila jumlah ini juga dicapai, anda boleh menaikkan lagi jumlah ini berulangkali sehingga anda rasa puashati dengan jumlah pendapatan bulanan anda.

5. Jangan pilih matlamat yang terlalu besar sehingga Nampak mustahil untuk dicapai. Juga jangan pilih matlamat yang Nampak terlalu senang untuk dicapai. Pilihlah matlamat yang anda rasa boleh dicapai tetapi pada masa yang sama mencabar keupayaan anda dan memerlukan anda berusaha untuk mencapainya. Dengan cara ini anda dapat memajukan hidup anda.

6. Sebenarnya tiada matlamat yang mustahil untuk dicapai, asalkan anda percaya boleh mencapainya.

1 comment:

  1. informtaion yg sgt berguna kepada usahawan spt sy yg baru bermula..

    ReplyDelete