Tuesday, August 30, 2011

Teknik Mencapai Matlamat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi kali ini.Kali ini mari kita lihat bagaimana kita hendak mencapai matlamat kita dengan lebih cepat. Walaubagaimanapun ,ingat bahawa kita tidak boleh sentiasa bertanya BILA dan BAGAIMANA kita akan mencapai matlamat kita.

TEKNIK MENCAPAI MATLAMAT DENGAN CEPAT
Untuk mencapai matlamat dengan cepat, anda perlu melakukan beberapa perkara . Supaya mudah diingat, saya membuat satu ringkasan
Lihat ayat ini
Kakak Bongsu Tahir Amat Gembira Impiannya Tercapai
Kakak K Kenapa
Bongsu B Beritahu
Tahir T Tulis
Amat A Afirmasi
Gembira G Gambar
Impiannya I Impian
Tercapai T Tindakan

1. KENAPA

Adalah elok untuk menjawab soalan ‘KENAPA’ anda hendakkan matlamat tadi. Ramai orang berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat tetapi apabila mencapainya mendapati ia bukanlah apa yang mereka kehendaki. Dengan menjawab soalan KENAPA , anda akan dapat memastikan matlamat anda itu memang benar – benar apa yang anda kehendaki.

Contoh
Matlamat : Memiliki rumah yang lebih besar
Kenapa ? Lebih Selesa
Memiliki wang sebanyak RM200,000 dibank
Kenapa ? Simpanan untuk hari tua
Tidak perlu risau tentang kewangan
Dengan menjawab soalan Kenapa kita hendakkan matlamat tadi , kita akan membongkar samada matlamat tadi sesuatu yang kita benar – benar hendak dalam hidup kita.

TULISKAN kenapa kita hendak mencapai matlamat tadi dalam buku matlamat supaya kita boleh melihatnya dari semasa ke semasa.

2.BERITAHU

Adalah bagus jika anda dapat memberitahu seseorang matlamat anda tadi. Sebelum memberitahu seseorang, anda mesti pasti orang ini akan memberi peransang dan selalu mendorong anda untuk mencapai matlamat anda. Dia juga boleh menegur anda jika anda putus harapan dan berhenti dari berusaha mencapai matlamat anda. Jika boleh ,dia juga akan memberi nasihat yang berguna kepada anda.

Jika anda rasa seseorang itu mungkin akan mempersendakan anda , lebih baik jangan memberitahunya. Jika anda rasa tidak pasti samada seseorang itu akan membantu anda atau mempersendakan, baik jangan beritahu orang tersebut. Tidak mengapa jika tiada seorang pun yang anda rasa boleh memberitahu matlamat anda. Anda tidak perlu memberitahu sesiapa dan anda masih boleh mencapai matlamat anda. Tetapi jika orang yang anda beritahu pula mempersendakan anda, maka jadikan ia satu cabaran untuk anda mencapai matlamat anda. Tunjukkan kepadanya anda boleh mencapai matlamat anda.
Jika anda ragu – ragu samada seseorang itu akan membantu atau akan mempersendakan anda, diamkan sahaja dan anda tidak perlu memberitahu sesiapa matlamat anda. Cuma jika ada sesiapa yang anda betul betul pasti akan mendorong anda barulah anda beritahu dia matlamat anda. Anda juga boleh saling – membantu sesama sendiri dengan memberi perangsang kepada satu sama lain.


3.TULISKAN
Elok anda tuliskan matlamat anda tadi. Brian Tracy , seorang pakar membuat matlamat mengatakan bila anda menuliskan matlamat tadi ianya akan menjadi lebih 100 kali lebih kuat dan kemungkinan anda mencapainya akan menjadi lebih tinggi .
a) Tulis matlamat anda tadi pada sebuah kad seperti kad manila dan letakkan pada tempat yang senang dilihat dan dibaca seperti meja tulis, almari , cermin muka dan sebagainya.
b) Setiap kali anda melihatnya, anda akan mengingat matlamat anda. Anda juga boleh membuat afirmasi setiap kali anda melihat matlamat anda.
c) Anda juga boleh menuliskan matlamat anda dalam buku matlamat dan melihatnya selalu


4.TEKNIK AFIRMASI
. AFIRMASI
Afirmasi merupakan teknik menyatakan sesuatu yang positif berulang kali dengan kuat sehingga Minda Bawah Sedar menerimanya sebagai sesuatu kepercayaan baru. Ia sangat berguna untuk menukar kepercayaan yang negative. Afirmasi juga ssuai untuk mempercepatkan mencapai matlamat.

Contohnya katakan seorang yang berpidato didepan orang ramai tetapi merasa gugup . Sebelum berpidato , beliau boleh berkata berulang – ulang kali ‘Saya seorang pemidato yang baik’ berulang kali sehingga dia sendiri hilang rasa keraguan nya dan boleh berpidato dengan baik. Ia sangat baik dilakukan sebelum berpidato, menghadiri temuduga , menghadiri peperiksaan dan sebagainya.

Jika seseorang ragu – ragu samada boleh mencapai matlamatnya, seperti samada mampukah dia membeli rumah seperti yang diidaminya, maka dia boleh membuat afirmasi ‘ Saya mempunyai rumah banglo yang saya idamkan’. Di sini sebutkan jenis rumah yang menjadi idaman anda seperti rumah banglo, semi d atau kondo. Sebutkan berulangkali dan kalau boleh sebutkan dengan kuat sehingga Minda Bawah Sedar mula mempercayainya. Tidak lama kemudian anda akan rasa anda seolah sudah mempunyai rumah tersebut dan seterusnya akan dapat membeli rumah idaman anda.

Terdapat dua perkataan yang sangat penting yang MESTI DIELAKKAN semasa membuat afirmasi IAITU
a) Perkataan – TIDAK
b) Perkataan - AKAN

Ini adalah kerana Minda Bawah Sedar tidak mengenali dua perkataan ini. Ingat blog mengenai menumpukan perhatian kepada apa yang kita hendak. Dua perkataan ini telah saya terangkan dahulu tetapi saya akan mengulanginya untuk kebaikan kita.

Lihat Afirmasi ini
‘SAYA TIDAK MAHU GAGAL DALAM PEPERIKSAAN’
Oleh kerana Minda Bawah Sedar tidak mengenali perkataan ‘TIDAK’ maka Minda Bawah Sedar akan menerima Afirmasi tersebut sebagai
‘SAYA MAHU GAGAL DALAM PEPERIKSAAN’ . Maka orang itu pun akan gagal dalam peperiksaan.Mungkin orang itu sudahpun belajar dan bersedia untuk mengambil peperiksaan, tetapi afirmasi ini membuat Minda Bawah Sedar menganggap orang itu mahu gagal dalam peperiksaan. Maka dia tidak akan dapat mengingat apa yang dipelajarinya sehinggalah dia gagal , sesuai dengan afirmasinya yang silap tadi.

Satu contoh kesilapan besar seperti ini adalah kempen berhenti merokok oleh Kementerian Kesihatan. Hari ini , selepas beberapa tahun dilaksanakan ,Kementerian Kesihatan mengakui kempen ini tidak berkesan . Saya sudah pun mengetahui kempen ini akan gagal pada masa ianya dilancarkan. Sila lihat afirmasi yang digunakan dalam kempen berhenti merokok 'SAYA TAK NAK MEROKOK'. Afirmasi ini menggunakan perkataan 'TAK NAK' (iaitu TIDAK hendak merokok). Oleh kerana perkataan TIDAK digunakan ,maka Minda Bawah Sedar akan memahaminya sebagai ' Saya NAK merokok '. Maka tidak hairanlah orang yang selalu menyebut afirmasi ini akan merokok dengan LEBIH BANYAK.Maka kempen ini pun tidak berjaya. Jika ada pegawai yang terlibat dengan kempen anti merokok sedang membaca blog ini, tolong sampaikan pesanan ini kepada pegawai yang menjalankan program ini supaya ianya boleh diubah dan kempen ini akan berjaya. Afirmasi yang lebih sesuai adalah 'Saya benci rokok'

Maka ingat perkataan ‘TIDAK’ sekali – kali tidak boleh digunakan dalam Afirmasi .
Perkataan kedua yang perlu dielakkan adalah perkataan AKAN. Minda Bawah Sedar tidak memahami konsep masa. Satu - satunya masa yang ada didalam Minda Bawah Sedar adalah MASA SEKARANG . Saya telah terangkan dengan lebih mendalam dalam blog ‘ Menumpukan Perhatian Pada Masa Sekarang’. Maka elakkan perkataan ‘AKAN’ dalam Afirmasi anda.

Lihat Afirmasi ini
‘SAYA AKAN MEMBELI SEBUAH RUMAH BANGLO’
Bilakan masa akan itu? Setahun, dua tahun , 10 tahun? Buat Afirmasi yang lebih spesifik seperti yang saya terangkan dalam blog Matlamat.JANGAN gunakan perkataan AKAN dalam afirmasi masa

Juga Afirmasi juga sangat sesuai dibuat seolah perkara itu SUDAH TERCAPAI
Contohnya
SAYA KAYA DAN SEMAKIN KAYA SETIAP HARI
Sebutkan Afirmasi ini berulangkali setiap hari. Perlu juga ada matlamat yang lebih spesifik yang menyatakan apa yang dimaksudkan KAYA ,contohnya memiliki rumah banglo ( yang spesifik), wang yang ditentukan jumlahnya dan sebagainya. Afirmasi ini berguna bagi membuat Minda Bawah Sedar kita percaya yang kita boleh dan akan mencapai matlamat kita tadi.

Afirmasi yang baik adalah afirmasi yang disebutkan seolah – olah sudah pun tercapai.
Jika semasa menyebut afirmasi ini terdapat
1) rasa ragu – ragu samada matlamat yang disebut dalam afirmasi boleh dicapai atau
2) terasa satu perasaan negative seperti takut , risau jantung berdebar , perut kurang selesa dan sebagainya TERUSKAN afirmasi tersebut. Rasa ragu – ragu atau perasaan negative tadi menunjukkan terdapat satu kepercayaan negative yang menghalang matlamat yang disebut dalam afirmasi tadi dari tercapai. Contohnya, jika seorang menyebut afirmasi ‘ Saya seorang pemidato yang baik’ tetapi merasa ragu – ragu atau sebarang perasaan negative seperti jantung berdebar semasa menyebutnya, maka mungkin dia sendiri percaya dia bukanlah seorang pemidato yang baik. Maka dia perlulah meneruskan afirmasinya sehingga rasa ragu – ragu dan perasaan negatifnya hilang . Seterusnya dia akan PERCAYA bahawa dirinya adalah seorang pemidato yang baik dan seterusnya dia akan menjadi seorang pemidato yang baik.

Teknik visualisasi ( yang saya telah terangkan dalam blog visualisasi) juga berfungsi dengan cara yang sama seperti afirmasi. Visualisasi juga boleh dilakukan sehIngga rasa ragu – ragu dan perasaan negative hilang dan seterusnya matlamat tercapai.

Jadi ,amalkan teknik afirmasi selalu dan gunakannya selalu untuk mengubah sikap dan kepercayaan negative dan mencapai matlamat anda
Contoh sikap negative
Afirmasi
1) Berhenti Merokok Saya benci rokok.
Saya benci bau rokok
2) Berpidato Saya seorang pemidato yang baik
3) Kesihatan Saya sihat dan semakin sihat setiap hari
4) Gemuk Saya suka bersenam setiap hari
Saya memilih makanan yang berkhasiat
5)Matlamat Saya mempunyai RM 10000 dibank

Anda boleh membuat afirmasi untuk apa sahaja yang anda perlukan . Cuma jaga supaya perkataan TIDAK dan AKAN tidak digunakan dalam afirmasi anda. Juga sebutkan afirmasi seolah - olah ia SUDAH TERCAPAI.

Contohnya JANGAN sebut ‘Saya boleh menjadi seorang pemidato yang baik’ atau ‘Saya akan menjadi seorang pemidato yang baik’ . Sebaliknya sebutkan ‘ Saya seorang pemidato yang baik’ seolah – olah anda sudah pun menjadi seorang pemidato yang baik .

Teknik afirmasi ini boleh digunakan untuk mengubah sebarang sikap negative atau mencapai matlamat dengan lebih cepat. Afirmasi lebih berkesan jika digunakan serentak dengan teknik visualisasi. Semasa menyebut ‘Saya seorang pemidato yang baik’, bayangkan anda sedang berpidato dengan baik didepan orangramai. Jika anda tidak dapat melakukan teknik afirmasi dan visualisasi serentak, lakukan kedua – dua afirmasi dan visualisasi satu demi satu . Contohnya lakukan teknik visualisasi selama 5 minit di ikuti teknik afirmasi selama 5 minit. Atau pilih teknik yang sesuai dengan keadaan anda. Bila menunggu di pejabat pos, teknik visualisasi adalah lebih sesuai . Bila berseorangan dibilik , barulah amalkan teknik afirmasi.

Saya harap anda tidak akan mengabaikan teknik afirmasi dan visualisasi ini Seseorang mungkin akan menyesal kerana mengabaikannya apabila pada satu hari nanti bila dia mengamalkan teknik afirmasi dan visualisasi dann mendapati ia sangat berkesan. Saya tahu anda akan menggunakan teknik ini dan mendapat menafaatnya.

bersambung
Dr. Mohamed Farook

No comments:

Post a Comment