Saturday, July 4, 2009

Hukum Tarikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi dalam pos kali ini.

Sudah sampai masanya untuk saya mula menerangkan tentang salah satu dari dua hukum Allah yang penting yang sentiasa mempengaruhi kehidupan kita, samada kita sedar mengenainya atau tidak. Sekarang kita berpeluang untuk mengubah pemikiran kita supaya boleh mendapat menafaat dari hukum tersebut dan sentiasa meraih kejayaan melalui usaha kita.

Hukum pertama yang ingin saya terangkan adalah HUKUM TARIKAN .
Hukum ini dikenali oleh manusia secara rasmi lebih kurang seratus tahun dahulu melalui penulisan William Atkinson melalui bukunya Thought Vibration. Namun ia tidak begitu popular sehinggalah Rhonda Bryne menggemparkan duni melalui bukunya THE SECRET dan filem THE SECRET pada tahun 2006. Walaupun ia mendatangkan satu perubahan besar didunia Barat, malangnya di Malaysia sendiri tiada banyak liputan mengenainya. Misalnya salah satu slot tv yang sangat popular di barat iaitu THE OPRAH WINFREY SHOW selalu menemuramah orang yang boleh menerangkan tentang hukum tarikan. Saya belum pernah melihat hukum ini dibincangkan dalam kaca tv kita. Harapan saya semoga jika ada orang yang terlibat dibidang media massa, mulalah memaparkan tentang hukum ini supaya lebih ramai yang mendapat menafaat darinya.

Hukum ini sebenarnya sudah pun diketahui lebih awal lagi sebelum ditulis oleh William Atkinson 100 tahun dahulu. Ianya diketahui oleh golongan raja, pembesar dan bangsawan dan hanya diajar kepada anak- anak mereka. Anak- anak mereka yang sudah mengetahui hukum ini akan menjadi raja, pembesar atau bangsawan. Anak - anak golongan bawahan yang tidak mengetahui hukum ini akan terus menjadi buruh dan bekerja untuk golongan atasan tadi. Filem The Secret menggambarkan hukum ini sebagai sesuatu rahsia besar yang dikawal ketat. Sekarang kita berpeluang untuk mempelajarinya. Janganlah mensia- siakan peluang ini.

Golongan yang mengetahui hukum tarikan juga merupakan golongan yang mempengaruhi sejarah dunia, Contohnya adalah Socrates, Shakepeare, Mahatma Ghandi, Henry Ford dan ramai lagi. Ini dapat dilihat dari penulisan dan percakapan mereka.

Hukum Tarikan

Apakah itu hukum tarikan? Secara ringkasnya hukum tarikan menyatakan bahawa kita menarik kedalam hidup kita apa yang kita fikirkan.
Apabila kita fikir tentang perkara yang positif, kita menarik perkara positif kedalam hidup kita.
Apabila kita fikir tentang perkara yang negatif, kita juga menarik kedalam hidup kita perkara negatif tadi.
Apabila kita berfikir tentang perkara yang kita ingini, kita menarik perkara tadi kedalam hidup kita,
Apabila kita berfikir tentang perkara yang kita takuti , kita juga akan menarik perkara tersebut kedalam hidup kita.

Pendekata, kita akan menarik kedalam hidup kita apa sahaja yang kita fikirkan samada perkara itu positif atau negatif, samada perkara itu sesuatu yang kita hendak atau takuti.

Penjelasan Saintifik
Kita sentiasa berfikir. Fikiran kita ini menghasilkan gelombang . Gelombang ini terbahagi kepada dua jenis sahaja ( dalam konteks hukum tarikan ini ) iaitu gelombang positif dan gelombang negatif. Pada satu - satu masa , otak kita akan menghasilkan satu jenis gelombang sahaja. Jika pemikiran kita positif , kita akan menghasilkan gelombang positif seratus peratus. Jika pemikiran kita negatif, kita akan menghasilkan gelombang negatif seratus peratus. Kita tidak boleh menghasilkan gelombang positif 70 peratus dan gelombang negatif 30 peratus dan sebagainya. Gelombang yang kita hasilkan adalah samada positif sepenuhnya (100 peratus ) atau negatif sepenuhnya (100 peratus).

Jenis gelombang adalah bergantung kepada corak pemikiran kita. Pemikiran positif menghasilkan gelombang positif . Pemikiran negatif pula menghasilkan gelombang negatif. Jenis gelombang ini boleh dikenali melalui alat perubatan moden seperti EEG. Pemikiran positif menghasilkan gelombang positif yang dilihat sebagai corak gelombang yang cantik dalam EEG. Pemikiran negatif pula menghasilkan gelombang negatif yang dilihat sebagai corak yang bercelaru dan tidak teratur dalam EEG. Saya rasa saya tidak perlu menerangkan tentang EEG dengan lebih lanjut, kerana ia tidak perlu untuk kita memahami hukum tarikan. Saya menerangkan tentang EEG kerana kita perlu sedar bahawa apa yang saya terangkan adalah sesuatu yang boleh dibuktikan melalui sains dan tidak perlu diragui lagi.

Insya Allah saya akan menyambung penerangan saya tentang Hukum Tarikan dalam blog akan datang.

Dr. Mohamed Farook bin Raj Mohamed

No comments:

Post a Comment