Tuesday, July 14, 2009

Penjelasan Saintifik- Penapis Minda RES

AssalamualaikumItalic dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi melalui pos kali ini.

Sebelum meneruskan penerangan tentang Hukum Tarikan, saya ingin menerangkan tentang satu bahagian dari minda yang memainkan peranan penting dalam hidup kita , khasnya dalam menentukan kejayaan atau kegagalan kita berdasarkan kepada corak pemikiran kita.

Ada sebahagian dari kita (termasuk saya) suka bertanya soalan ' kenapa' dan' bagaimana'. Setiap perkara akan ditanya kenapa dan bagaimana ianya berlaku. Sebenarnya sifat ingintahu ini agak penting , kerana sifat inilah yang membawa banyak penemuan baru didunia kita. Tetapi kadang - kadang kita tidak akan menemui jawapan untuk soalan 'kenapa' dan 'bagaimana' ini. Contohnya walaupun banyak perkara sudah kita fahami mengenai minda kita, masih ada banyak perkara lagi mengenai cara minda kita bekerja yang masih kita tidak faham.

Walaubagaimanapun, seperti dalam contoh suis dan lampu, walaupun kita tidak tahu apa yang berlaku setelah kita memetik suis sehingga lampu menyala, kita masih memetik suis bila kita memerlukan cahaya. Maka lampu pun menyala dan menerangi rumah kita. Dengan cara yang serupa kita perlu mengamalkan teknik minda dan kita akan berjaya, walaupun kita tidak faham 'bagaimana' dan kenapa teknik itu berkesan.

Disini saya akan menerangkan tentang sebuah bahagian minda yang penting iaitu Penapis RAS. (Reticular Activating System).Bahagian otak ini yang saya katakan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan kita bersesuaian dengan corak pemikiran kita . Penapis RAS ini berfungsi selaras dengan Hukum Tarikan dan Hukum Tindakan dan Tindakbalas .

Saya ingin mengingatkan bahawa jika anda tidak memahami penerangan dibawah , tidak mengapa. Jangan risau. Penerangan ini adalah ditujukan kepada golongan yang sering bertanya kenapa dan bagaimana tadi. Jika tidak mendapat penerangan secukupnya, golongan ini sukar sedikit untuk mengamalkan apa yang mereka pelajari. Saya berharap walaupun anda tidak memahami apa yang saya terangkan, amalkan sahaja perkara yang telah saya terangkan dan akan saya terangkan dalam pos- pos lain dalam blog ini. Maka anda akan berjaya dalam hidup anda. (insya Allah). Penerangan di bawah serupalah seperti penerangan tentang apa yang berlaku selepas suis dipetik sehingga lampu menyala dalam contoh tadi. Walaupun anda hanya tahu memetik suis, itu sudah mencukupi untuk anda menerangi hidup anda. Tak perlu anda tahu apa yang berlaku selepas suis dipetik sehungga lampu menyala. Yang penting anda perlu fahami kesimpulan yang berikan diperenggan bawah sekali pos ini.

Jika anda memahami penerangan yang saya berikan dibawah , itu lebih bagus.

Bahagian minda yang saya ingin terangkan dengan lebih lanjut adalah sebuah penapis minda. Dalam bidang saikoloji ianya dipanggil sebagai Reticular Activating System (RAS). Selepas ini saya akan merujuk kepada penapis ini sebagai penapis RAS sahaja. Penapis RAS adalah sebahagian dari minda (Otak) kita. Apakah fungsi penapis RAS ini? Untuk memahaminya saya akan berikan satu contoh.

Katakan ada seorang pemimpin penting datang ke Kuala Lumpur. Katakan semua orang di Kuala Lumpur ingin berjumpa denganbeliau. Pemimpin tersebut sudah tentu tidak dapat berjumpa dengan setiap penduduk Kuala Lumpur satu persatu. Jika semua penduduk Kuala Lumpur yang berjumlah lebih sejuta orang berpusu- pusu berjumpanya , beliau tidak dapat membuat apa- apa perkara yang berfaedah. Katakan bahawa beliau hanya dapat berjumpa tujuh orang pada satu hari.

Satu cara penyelesaian adalah dengan cara beliau melantik satu jawatankuasa yang akan menapis setiap penduduk Kuala Lumpur yang ingin berjumpa pemimpin tadi. Pemimpin tadi boleh memberikan kepada jawatankuasa tadi satu senarai syarat- syarat ( kriteria) orang yang boleh berjumpa dengannya. Jawatankuasa tadi akan menapis semua penduduk Kuala Lumpur yang berjumlah lebih sejuta tadi dan memilih tujuh orang sahaja yang menepati syarat - syarat yang ditetapkan oleh pemimpin tadi. Hanya tujuh orang ini sahaja yang akan dibenarkan berjumpa dengan pemimpin tadi. Jadi pemimpin tadi mempunyai masa untuk melakukan kerjanya. Beliau juga dapat berjumpa orang yang perlu dijumpainya iaitu orang yang memenuhi kriteria yang ditetapkannya.

Inilah sebenarnya apa yang berlaku dalam minda kita. Pemimpin tadi sebenarnya adalah minda kita. Jawatankuasa tadi adalah Penapis RAS. Pada setiap ketika minda kita menerima 2 juta input (maklumat) melalui lima deria kita .( mata, telinga, hidung, lidah dan kulit). Minda kita tidak mampu menerima dan memproses 2 juta input ini. Penapis RAS memainkan peranan penting memproses 2 juta input tadi dan memilih 7 input sahaja (seperti ahli jawatankuasa yang memproses 2 juta penduduk KL tadi dan memilih tujuh 0rang yang sesuai.). Penapis RAS akan membenarkan hanya 7 input (maklumat) ini sahaja sampai kepada minda kita.Input yang selebihnya iaitu 1, 999, 993 input lagi akan dihalang daripada sampai kepada minda kita. Jadi kita boleh lihat bahawa sebahagian besar daripada input akan ditapis daripada sampai kepada minda oleh penapis RAS.

Apakah yang menentukan input apa yang sampai kepada minda kita? Atau lebih tepat lagi apakah kriteria yang menentukan 7 input yang mana sampai kepada minda dan input yang mana ditapis keluar oleh Penapis RAS?Dalam contoh tadi , ahli jawatankuasa memilih 7 orang yang sesuai berdasarkan kriteria yang diberikan oleh pemimpin tadi. Begitu juga Penapis RAS memilih 7 input yang perlu sampai kepada minda pada satu - satu masa berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh minda kita sendiri. Arahan ini diberikan tanpa kita menyedarinya dalam bentuk beberapa perkara seperti kepercayaan, matlamat , niat dan jenis pemikiran. Perkara - perkara seperti kepercayaan, matlamat , niat , jenis pemikiran samada positif atau negatif dan emosi adalah diantara perkara yang menentukan input yang mana sampai kepada minda dan input yang mana ditapis keluar oleh Penapis RAS dan tidak sampai kepada minda.

Saya berikan satu contoh supaya lebih senang memahaminya. Katakan Osman adalah seorang peniaga dan dia percaya bahawa dia boleh berjaya dibidang perniagaan. Maka Penapis RAS akan membenarkan input yang boleh membawa kejayaan dibidang perniagaan sampai keminda Osman. Input yang membawa kegagalan akan ditapis keluar oleh Penapis RAS.Ini sesuai dengan kepercayaannya bahawa dia boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Maka jika dia berusaha, dia akan mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan tanpa banyak masalah.

Sebaliknya , katakan ada seorang lain bernama Hisam juga seorang peniaga tetapi dia percaya bahawa sangat sukar untuk berjaya dibidang perniagaan. Maka Penapis RAS nya akan membenarkan input yang akan menyusahkannya dibidang perniagaan sampai keminda sementara input yang boleh membawa kejayaan kepadanya akan ditapis keluar. Ini bersesuaian dengan kepercayaannya bahawa perniagaan adalah sukar. Maka bagi Hisam , berniaga akan menjadi sukar.

Saya berikan satu contoh lagi. Katakan Azlan mempunyai matlamat untuk membeli sebuah kereta. Maka semua input yang akan membantunya membeli kereta tadi akan sampai kepada minda Azlan. Ini termasuk input yang membawa kejayaan dibidang kewangan (supaya dia boleh mmbeli kereta idamannya) dan input yang menolongnya mencari kereta idamannya tadi. Katakan Wahid pula tiada sebarang matlamat untuk membeli kereta, maka input yang boleh membantunya membeli kereta tadi mungkin akan ditapis keluar oleh Penapis RAS dan tidak sampai ke minda Wahid. Ini adalah membeli kereta bukanlah matlamat Wahid. Maka Penapis RAS menganggap input yang boleh membantu Wahid membeli kereta tidaklah penting.Inilah sebabnya penting untuk kita mempunyai matlamat dalam hidup kita . Saya akan menerangkan tentang matlamat dan kepercayaan dalam blog- blog yang akan datang . (insya Allah)

Satu contoh lagi adalah ibu-ibu yang mempunyai anak kecil. Walaupun suaminya berdengkur macam enjin keretapi, dia mungkin masih boleh tidur . Tetapi apabila anak kecilnya menangis walaupun dengan suara yang perlahan, ibu tadi akan terjaga. Ini adalah kerana Penapis RAS ibu tadi menapis suara dengkuran tadi sebagai sesuatu yang tidak penting dan suara tangisan anak kecil tadi dianggap sebagai suatu bunyi penting yang perlu diberi perhatian.

Katakan ada seorang yang percaya bahawa dia sentiasa sihat. Maka Penapis RASnya akan membenarkan input yang akan membantunya menjadi sihat masuk dan sampai kemindanya. Contohnya input seperti tip- tip pemakanan yang baik dan cara menjaga kesihatan akan sampai kemindanya. Input yang memudaratkan dari segi kesihatan akan ditapis dan dihalang dari sampai kemindanya.

Jika ada seorang yang selalu merasakan dirinya tidak sihat maka Penapis RASnya akan membenarkan semua input yang menyebabkan dia sakit masuk. Input yang menolongnya menjadi sihat akan ditapis dan dihalang dari sampai ke mindanya. Sebab itu disamping mengambil langkah pencegahan supaya sentiasa sihat, penting untuk kita percaya kita akan sentiasa sihat.

Katakan ada sepasang kekasih bernama Uda dan Dara. Jika Dara terlalu sayang pada Uda dan menganggap sebagai Uda lelaki yang sangat baik, maka apa sahaja kesalahan yang dibuat oleh Uda akan ditapis oleh Penapis RAS Dara dari sampai kemindanya . Kesalahan ini tidak akan dilihat sebagai kesalahan oleh Dara . Sebaliknya jika Uda membuat sedikit kebaikan sahaja ianya akan dibenarkan sampai ke minda Dara oleh Penapis RAS Dara. Jadi Dara akan nampak setiap kebaikan Uda dan tidak nampak sebarang kesilapan Uda. Sebab itulah dikatakan cinta itu buta. Begitu juga jika Uda menyintai Dara, dia akan nampak setiap kebaikan Dara dan tidak nampak langsung perangai Dara yang kurang sesuai. Jadi pasangan yang akan berkahwin , cubalah minta pandangan orang lain tentang bakal pasangan anda. Jika menerima pendapat yang berbeza dari pandangan anda, janganlah terus menolak atau menerima pandangan tersebut. Cubalah selidiki samada pandangan orang lain ada kebenarannya.Barulah membuat keputusan tentang perkahwinan. Ini akan mengelakkan banyak masalah selepas perkahwinan.

Begitu juga ibubapa yang terlampau sayang akan anak- anak mereka. Penapis RAS mereka akan menapis keluar semua kesalahan anak mereka dari sampai keminda mereka . Semua kebaikan anak mereka akan masuk dan sampai kepada perhatian minda mereka. Jadi mereka akan dapati anak mereka sentiasa bagus. Jika ada guru memanggil ibubapa kesekolah dan memberitahu kesalahan anak mereka, ibubapa perlulah menyelidiki samada apa yang dikatakan oleh guru ada kebenarannya. Ibubapa janganlah terus memarahi guru dan menyalahkan murid lain . Ini adalah untuk kebaikan anak kita.

Katakan ada seorang yang membenci seorang atau satu golongan lain. Maka dia akan nampak segala kesilapan orang atau golongan yang dibencinya. Dia tidak akan nampak kebaikan orang atau golongan tersebut. Contohnya , saya pernah berjumpa seorang yang percaya bahawa semua orang kaya adalah jahat. Maka apabila seorang kaya berbuat jahat, maka Penapis RASnya akan membenarkan input ini saampai kemindanya. Maka dia akan nampak kejahatan orang kaya tersebut. Jika ada orang kaya membuat kebaikan pula, maka Penapis RASnya akan menapis input tentang kebaikan orang kaya tersebut dari sampai ke mindanya. Maka dia tidak akan nampak kebaikan orang kaya tersebut. Mungkin dia akan mengatakan orang kaya tersebut sengaja membuat kebaikan untuk mencari publisiti. Walaupun ada orang kaya yang membuat 10 kebaikan pun dia tidak akan nampak. Kerana semua kebaikan ini ditapis oleh Penapis RAS nya dan dihalang dari sampai kemindanya. Ini adalah kerana dia percaya semua orang kaya adalah jahat. Jika ada orang kaya yang membuat satu kesalahan pun, dia akan terus nampak. Kepercayaannya bahawa orang kaya adalah jahat akan menjadi semakin kuat. Maka dia akan menemui lebih banyak orang kaya yang akan menyusahkan hidupnya. Selagi dia tidak menukar kepercayaan bahawa semua orang kaya adalah jahat , selagi itulah dia akan menerima masalah melalui orang kaya. Saya akan menerangkan lagi dalam blog mengenai kepercayaan. (insya Allah)


Kesimpulan
Corak pemikiran yang betul seperti pemikiran positif, kepercayaan yang betul, tumpuan pada perkara positif dan mempunyai matlamat dalam hidup akan membawa kejayaan dalam hidup kita selaras dengan dua hukum yang ditetapkan oleh Allah iaitu Hukum Tarikan dan Hukum Tindakan dan Tindakbalas.

Pos kali ini agak panjang tetapi ianya perlu kerana pos ini akan menjadi asas untuk pos - pos yang akan datang. Jika ada apa- apa nasihat saya menyinggung perasaan anda, saya ingin meminta maaf. Ianya adalah kebaikan kita bersama.
Pada pos akan datang saya akan membincangkan tentang topik Intuisi .(insya Allah)

Buku Rujukan -
Neuro-linguistic Programming for Dummies. Romilla Ready and Kate Burton
Penerbit- John Wiley & Sons
Dr. Mohamed Farook b. Raj Mohamed

No comments:

Post a Comment