Wednesday, June 17, 2009

Nasihat Yang Sangat Penting (bhgn 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi pada minggu ini.

Dr. Deepak Chopra adalah seorang pakar motivasi yang sangat terkenal di barat. Beliau mempunyai kira - kira 500,000 orang pengikut setia. Dalam satu ceramah beliau mengatakan terdapat seorang manusia sahaja didunia ini. Orang itu adalah anda. Pada mulanya saya tidak memahami apa yang dimaksudkannya. Lama kelamaan apabila saya meneruskan kajian saya, saya memahami apa yang dimaksudkannya. Maksudnya adalah andalah yang menentukan apa yang berlaku pada anda. Saya sendiri berpendapat terdapat dua perkara sahaja yang menentukan apa yang berlaku pada kita 1) Allah (tuhan) 2) kita sendiri (iaitu melalui corak pemikiran dan tindakan kita)

Jadi setiap kejadian yang berlaku pada kita dan seterusnya kejayaan dan kegagalan kita berpunca dari dua perkara tadi iaitu Allah dan diri kita. Mungkin ada yang bertanya bagaimana pula pengaruh dari peristiwa luaran seperti kemelesetan ekonomi dunia, kenaikan harga minyak dan barangan, peperangan dan seribu satu macam masalah yang silih berganti? Bukankah semua ini mempengaruhi apa yang berlaku pada kita dan seterusnya kejayaan dan kegagalan kita? Jawapannya ialah TIDAK.

Saya beri satu contoh supaya lebih senang difahami. Katakan seorang penuntut menerima kiriman wang daripada ayahnya di kampung. Memang posmen yang akan menyampaikan kiriman wang tadi. Walaubagaimanapun, penuntut tadi faham bahawa posmen hanya menyampaikan kiriman wang tadi. Ayahnyalah yang menghantar kiriman wang tadi. Jika ayahnya tidak menghantar kiriman wang tadi, posmen tidak akan menyampaikan kiriman wang kepadanya. Begitu juga semua peristiwa seperti kenaikan harga minyak, kemelesetan ekonomi dan sebagainya hanyalah menyampaikan masalah kepada kita. Masalah tadi berpunca dari dua perkara sahaja iaitu Allah dan kita sendiri.

Allah (tuhan) pula seperti yang kita sedia maklum adalah bersifat maha penyayang ( Ar rahman dan Ar rahim) dan maha adil. Allah tidak akan sewenang - wenangnya memberi kita kesusahan tanpa sebab. Pada pendapat saya ada dua sebab Allah akan memberi kita masalah
1) Teguran
Apabila ada satu perkara yang kita perlu belajar ,Allah akan memberi kita masalah. Tujuannya adalah supaya kita belajar dari masalah tersebut, bukan menghukum kita. Apabila kita sudah belajar apa yang kita perlu pelajari dari masalah tersebut, masalah tersebut akan diatasi dengan mudah. Jika kita sudah mempunyai corak pemikiran yang betul, masalah akan dapat dielakkan dan akan cepat diatasi jika masih berlaku. Ini akan kita lihat dalam pos mengenai masalah nanti. (insya allah)

2) Ujian
Dari masa ke semasa, kita akan mendapat ujian dari Allah. Selepas kita berjaya dalam ujian , kita akan mendapat kejayaan yang lebih besar dengan bantuan dan izin Allah. Jika kita mempunyai corak pemikiran yang baik, ujian ini akan kita atasi dengan mudah.

Sila perhatikan bahawa mempunyai corak pemikiran yang betul akan membolehkan kita mengatasi masalah dengan cepat samada ianya merupakan teguran atau ujian dari Allah.

Semua masalah lain adalah berpunca dari kita sendiri . Masalah tadi berpunca dari corak pemikiran yang negatif dan bermasalah. Ini akan saya terangkan dalam pos pos yang akan datang.( insya allah)

bersambung

No comments:

Post a Comment