Sunday, May 29, 2011

Matlamat

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Syukur alhamdulillah kita dapat bertemu lagi selepas satu jangka masa yang sangat lama. Saya agak sibuk dengan tugas harian . Disamping itu , saya terus menimba ilmu untuk terus memajukan diri dan dikongsi dengan orang lain. Sekarang saya ingin berkongsi lebih banyak ilmu dengan yang berminat untuk memajukan diri sendiri.

Saya ingin meneruskan blog ini dengan satu lagi topik yang penting iaitu matlamat. Jika anda membaca blog yang awal , anda mungkin ingat satu kajian yang dilakukan di University of Yale mengenai matlamat.University of Yale merupakan salah satu Universiti yang terkemuka dunia.Pelajar – pelajar University of Yale merupakan CEO syarikat Fortune 500 ( 500 syarikat gergasi di dunia) , tokoh – tokoh peniagaan yang besar dan ketua tertinggi dijabatan kerajaan.

Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 1974, didapati cuma 4% dari pelajar University of Yale mempunyai matlamat. 20 tahun selepas itu iaitu pada tahun 1994, kesemua pelajar tersebut telah dicari semula. Kejayaan mereka telah diukur dari segi kewangan dan hartabenda mereka. Kita sedia maklum bahawa kewangan dan hartabenda sahaja bukanlah ukuran sebenar untuk menilai kejayaan seseorang. Walaubagaimanapun nilai hartabenda dan kewangan merupakan satu cara mudah untuk mengukur kejayaan material seseorang, jadi ia digunakan sebagai pengukur kejayaan dalam kajian ini.

Mereka yang semasa belajar mempunyai sudah tentu akan terus mempunyai tabiat membuat matlamat setiap masa dalam semua peringkat hidup mereka. Hasil kajian menunjukkan bahawa mereka yang semasa belajar mempunyai matlamat selepas 20 tahun adalah 25 kali lebih berjaya dari segi kewangan dan hartabenda!

Matlamat adalah seperti sebuah destinasi untuk sebuah kapal. Sebuah kapal yang tidak mempunyai destinasi akan – akan terumbang – ambing dilautan sampai kehabisan bekalan. Tetapi jika kapal tersebut mempunyai destinasi, maka semua kelasi kapal akan bertungkus lumus bekerja supaya kapal tersebut akan sampai kedestinasi dengan cepat dan selamat.

Begitu juga jika kita tidak mempunyai matlamat. Minda Bawah Sedar kita tidak akan tahu apa yang perlu dilakukan ( sama seperti kelasi kapal yang tiada destinasi tadi ). Sebaliknya bila kita sudah mempunyai matlamat, maka Minda Bawah Sedar akan mula berusaha untuk membantu kita sedaya upaya untuk kita mencapai kejayaan. ( sama seperti kelasi kapal yang sudah mempunyai destinasi ).

Minda Bawah Sedar tidak boleh membuat keputusan sendiri. Minda Sedarlah yang membuat semua keputusan dalam hidup kita. Jadi jika kita ingin menggunakan kuasa Minda Bawah Sedar untuk membantu kita mencapai matlamat kita, maka kita mestilah membuat matlamat yang boleh difahami oleh Minda Bawah Sedar.

Untuk memilih matlamat yang boleh difahami oleh Minda Bawah Sedar dan seterusnya mencapai kejayaan yang cemerlang dengan secepat mungkin, kita perlulah tahu teknik bagaimana untuk memilih matlamat ( goal setting technique).Teknik memilih matlamat yang paling popular di Barat adalah Teknik SMART iaitu


S Specific (Spesifik)
M Measureable (Boleh diukur)
A Attainable (Boleh Dicapai)
R Realistic (Realistik)
T Time (Masa)

Saya telah mengubahnya sedikit .Ingat ayat ini ‘ Hamid Suka Udang Masak Pedas’
H ( Hamid) untuk HENDAK
S ( Suka) untuk SPESIFIK
U ( Udang) untuk UKURAN
M ( Masak ) untuk MASA
P ( Pedas) untuk PERCAYA

1.HENDAK
Seringkali apabila saya bertanya apakah matlamat anda, ramai yang menjawab “Saya tak nak miskin.” Atau “ Saya tak nak susah” . Matlamat mestilah sesuatu yang kita HENDAK. Jika kita mempunyai matlamat yang memberi tumpuan kepada apa yang kita hendak elakkan maka perkara itu akan menjadi semakin banyak dalam hidup kita. Ingat blog menumpukan perhatian kepada apa yang kita hendak. Maka lebih sesuai jika matlamat kita adalah “ Saya nak senang” dan bukannya “saya Tak nak susah” atau “ Saya tak nak miskin” . Jika matlamat adalah apa yang kita tidak hendak , tukarkan sahaja kepada lawannya iaitu tukarkan susah jadi senang atau tukarkan miskin jadi kaya.
“Saya tak nak susah” tukarkan jadi “ Saya nak senang”
“ Saya tak nak miskin “ tukarkan Jadi “ Saya nak kaya”
MATLAMAT MESTILAH SESUATU YANG KITA HENDAK DALAM HIDUP KITA,
BUKANNYA SESUATU YANG KITA HENDAK ELAKKAN .

2.SPESIFIK
Matlamat kita mestilah sesuatu yang spesifik .Contohnya jika matlamat kita adalah “ Saya nak senang “ atau “saya nak kaya” Minda Bawah Sedar kita tidak akan faham apa maksudnya ‘nak senang’ atau ‘ nak kaya’. Jadi Minda Bawah Sedar tidak akan berusaha mencapai matlamat yang tidak difahaminya.Jadi tiada perubahan yang akan berlaku dalam hidup kita. Matlamat tidak akan tercapai.
Matlamat “ Saya nak pendapatan bulanan yang lebih banyak” adalah lebih spesifik dari “ saya nak senang”. Matlamat “Saya nak simpanan yang lebih banyak dibank” adalah lebih spesifik dari “ saya nak kaya”.

Jika matlamat adalah untuk mempunyai sebuah rumah , tentukan lebih awal rumah bagaimana yang menjadi idaman anda .Rumah Banglo atau rumah kondominium? Bagaimanakah bentuk laman, susunan perabut, warna dinding dan sebagainya. Tentukan sebuah rumah yang seberapa spesifik yang anda boleh tentukan. Bila melakukan teknik seterusnya seperti visualisasi , gunakan rumah ini. Maka matlamat akan tercapai dengan cepat . Jika tidak spesifik, matlamat mungkin akan lambat atau tidak tercapai.

Jika matlamat adalah untuk memiliki sebuah kereta, maka tentukan kereta model apa ( BMW, Benz, Toyota , Perdana) , berapa cc nya, warna dan sebagainya. Jika boleh pergi lihat contoh kereta idaman anda di bilik showroom. Matlamat yang lebih spesifik ini adalah lebih senang dicapai dari matlamat untuk memiliki sebuah kereta sahaja. Ini adalah kerana lebih spesifik matlamat ter sebut , maka lebih mudah untuk anda mencapainya.

3.UKURAN
Jika matlamat itu boleh diukur, perlu disebutkan ukurannya. Contohnya, seorang yang memperolehi pendapatan bulaban sebanyak RM 3000 sebulan dan matlamatnya ialah memperolehi pendapatan bulanan yang lebih banyak. Maka dia mungkin akan memperolehi pendapatan bulanan RM3050 sahaja . Ini adalah kerana bagi Minda Bawah Sedar , RM 3050 adalah lebih banyak dari RM 3000. Jadi menurut Minda Bawah Sedar, matlamat untuk mencapai pendapatan bulanan yang lebih banyak sudah tercapai. Ingat , Minda Bawah Sedar walaupun jauh lebih berkuasa dari Minda Sedar, ia tidak dapat membuat keputusan . Minda Sedar yang boleh membuat keputusan. Jadi kita mestilah memilih matlamat yang boleh diukur supaya Minda Bawah Sedar boleh memahaminya.


Contohnya, katakan pendapatan bulanan seorang adalah RM 3000 sebulan . Matlamat “ Saya nak pendapatan bulanan yang lebih banyak” lebih sesuai diubah kepada “ Saya nak pendapatan bulanan RM 5000 sebulan”. Di sini ukuran untuk pendapatan bulanan yang dikehendaki sudah dinyatakan. Jadi Minda Bawah Sedar akan berusaha kearah matlamat yang sudah lebih jelas dan disebut ukurannya.

Jika seseorang mempunyai simpanan dibank berjumlah RM20,000 dibank dan matlamatnya adalah “ Saya nak simpanan yang lebih banyak di bank” , maka dia mungkin akan dapat menyimpan RM 20,300 sahaja . Ini adalah kerana Minda Bawah Sedar menganggap RM 20,300 lebih banyak dari RM20,000. Maka matlamat “ Saya nak simpanan yang lebih banyak dibank “ sudah tercapai. Oleh itu, matlamat “ Saya nak simpanan yang lebih banyak dibank “ lebih sesuai disebutkan ukuran simpanan yang dikehendaki . Matlamat tersebut lebih sesuai diubah kepada “ Saya nak simpanan sebanyak RM 30,000 dibank” contohnya. Maka Minda Bawah Sedar akan berusaha mencapai matlamat yang lebih jelas dan ukurannya sudah disebutkan.

Bagi perkara yang tidak boleh diukur,tidak mengapa jika ukuran tidak disebutkan.

bersambung

1 comment:

  1. Assalamualaikum, selamat kembali kedunia penulisan Dr, sebuah penantian yang sangat lama, terimakasih diatas segala ilmu yang dicurahkan. :)

    ReplyDelete