Tuesday, June 23, 2009

Nasihat yang sangat penting (bhgn 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Geoge Bernard Shaw
Kemajuan adalah mustahil tanpa perubahan
Perubahan adalah mustahil tanpa tanpa perubahan minda

Henry Ford
Jika anda fikir boleh, maka anda boleh
Jika anda fikir anda tidak boleh, maka anda tidak boleh


Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi.

Saya ingin menyambung post saya pada minggu lepas. Tentu anda masih ingat saya penerangan saya bahawa masalah timbul dari dua sumber sahaja iaitu Allah ( merupakan teguran dan ujian ) dan diri kita sendiri. Pada post mengenai jenis ilmu yang perlu dipentingkan (bhgn 2) saya ada menerangkan bahawa dunia luar kita mencerminkan dunia yang didalam kita ( minda kita) . Masalah timbul apabila kita mempunyai corak pemikiran yang tidak betul. Masalah ini akan berulang- ulang sehingga corak pemikiran ini dibetulkan. Masalah akan kelihatan seperti berpunca dari masalah luaran seperti kemelesetan ekonomi, kenaikan harga minyak dan sebagainya tetapi sebenarnya berpunca dari minda kita dan Allah. Cara kita mengatasi semua masalah adalah dengan corak pemikiran yang betul dan sabar.Corak pemikiran yang betul akan saya terangkan dalam blog ini dalam pos yang akan datang. Saya hendak menerangkan disini tentang masalah yang berasal dari kita. Mungkin nampak seolah -olah saya mengulang perkara yang sama , tetapi perkara ini merupakan perkara yang sangat penting dan jika tidak difahami akan menyebabkan seseorang bersusahpayah sepanjang hidupnya.Pada masa yang sama jika perkara ini difahami dan tindakan diambil untuk mengubah corak pemikiran kita, kita akan dapat menyelesaikan semua masalah kita.

Saya ambil contoh seorang mekanik yang cekap dan bekerja dibawah seorang majikan. Ramai pelanggan akan mencarinya kerana kecekapannya membaiki kereta dan keramahannya. Dia mungkin mengambil keputusan untuk membuka perniagaannya sendiri. Dia beranggapan bahawa oleh kerana dia adalah seorang mekanik yang cekap dan ramah , ramai pelanggan akan mencarinya. Sebenarnya walaupun dia seorang mekanik yang cekap , ramah dan ramai pelanggan mencarinya semasa bekerja dengan orang lain, jika dia tidak mempunyai corak pemikiran yang betul maka perniagaannya tidak akan maju. Setelah membuka kedai servis kereta, dia akan mendapati bahawa dia tidak mendapat ramai pelanggan. Mungkin dia berpendapat bahawa lokasinya tidak sesuai dan cuba menukar lokasi kedainya atau mengiklankannya. Selepas itu mungkin pelanggannya ramai, tetapi jika dia belum menukar corak pemikirannya, dia akan mengalami masalah baru sesuai dengan corak pemikirannya. Mungkin sekarang dia akan menghadapi masalah untuk mendapat pekerja yang mahir. Setelah berusaha bersungguh - sungguh dan berjaya mendapat pekerja mahir, dia mungkin menganggap masalahnya telah selesai. Tetapi jika dia masih mempunyai corak pemikiran yang sama, dia akan menghadapi masalah baru. Mungkin kali ini dia akan jatuh sakit. Dia perlulah sedar bahawa semua masalah berpunca dari dia sendiri dan mengubah corak pemikirannya, jika tidak masalah akan sentiasa berulang-ulang dalam bentuk yang berlainan. Jika dia sudah mengubah corak pemikirannya, dia akan dapati semua masalahnya akan hilang atau boleh diatasi dengan mudah. Ini serupalah seperti membubuh baja pada akar pokok yang bermasalah dalam cerita 2 ( dalam blog jenis ilmu yang perlu dipentingkan)

Perkara ini berlaku dalam semua aspek dan bukan dalam bidang perniagaan sahaja. Seorang isteri atau suami yang sering mempunyai masalah dengan pasangan misalnya, perlulah sedar bahawa dia perlu menukar corak pemikirannya sendiri dan pada masa yang perlulah berusaha mengubah perangai pasangannya. Barulah usahanya akan mendatangkan hasil. Jika hanya berusaha mengubah perangai pasangannya tetapi corak pemikirannya sendiri tidak berubah , masalah dengan pasangannya akan sentiasa berulang. Cuma jenis masalahnya akan berubah. Contohnya jika seorang suami suka berpoya- poya dengan perempuan lain, isteri perlulah menukar corak pemikirannya sendiri pada masa yang sama mencuba mengubah perangai suaminya seperti meminta ahli keluarga menasihatinya, menjaga penampilan dirinya dan berbagai cara lagi yang selalu diterangkan dalam majalah untuk wanita. Cuma semua ini tidak akan berkesan tanpa perubahan dalam corak pemikiran isteri tadi. Corak pemikiran yang diperlukan akan saya terangkan dalam pos pos yang akan datang . ( insya allah)

Seorang pekerja mungkin sering mempunyai masalah dengan majikannya. Walaupun dia cuba mengatasinya , masalah baru sentiasa timbul sebaik sahaja masalah lama selesai. Ini adalah kerana corak pemikirannya yang tidak sempurna . Bila dia mengubah corak pemikirannya dan pada masa yang sama berusaha mengatasi masalah dengan majikan, masalahnya akan selesai . Mungkin juga dia sendiri akan mendapat kerja dengan majikan yang lebih baik. Jika dia cuba mencari kerja lain tanpa mengubah corak pemikirannya, dia tidak akan berjaya mendapat kerja lain . Jika dia mendapat kerja di tempat lain, dia akan dapati dia masih bermasalah dengan majikan barunya. Ini adalah kerana corak pemikirannya masih belum berubah.

Seorang majikan pula jika sentiasa mempunyai corak pemikiran yang tidak sempurna, dia akan sering mendapat banyak masalah yang sentiasa berulang. Contohnya dia mungkin menghadapi masalah dengan seorang pekerja. Bila masalah diatasi, dia akan mempunyai masalah dengan pekerja lain . Mungkin juga timbul masalah lain yang tidak melibatkan pekerja. Sebaliknya bila corak pemikiranya menjadi baik, pekerjanya yang bermasalah tadi akan berubah atau mencari kerja lain tanpa menyusahkan majikannya. Masalah lain juga tidak akan timbul.

Seorang guru yang mempunyai corak pemikiran yang baik akan mendapati anak muridnya akan menjadi rajin, senang memahaminya, dan berdisiplin semasa guru itu mengajar. Semasa guru lain yang tidak mempunyai corak pemikiran yang sempurna mengajar, anak murid yang sama akan menjadi nakal dan pemalas.

Ibubapa yang mempunyai corak pemikiran yang baik akan mendapati anak mereka bagus sifatnya. Jika corak pemikiran ibubapa tidak sempurna , anaknya juga akan berperangai nakal.

Saya harap anda sudah faham bahawa hampir segala masalah dalam hidup kita berpunca dari corak pemikiran yang tidak sempurna. Teguran dari Allah juga akan datang apabila corak pemikiran kita yang tidak sempurna . Kita perlu mempelajari sesuatu dan Allah akan menghantar masalah pada kita supaya kita belajar dari masalah tersebut dan seterusnya mengubah corak pemikiran kita.

Ujian Allah juga boleh kita atasi dengan cepat jika kita mempunyai corak pemikiran yang sempurna. Jadi dengan mempunyai corak pemikiran yang sempurna , kita akan bebas dari segala masalah samada yang berpunca dari kita atau dari Allah .

Mungkin ada pembaca yang belum yakin dengan apa yang saya terangkan disini. Saya akan menerangkan perkara ini dengan bukti saintifik (khasnya dari bidang kuantum fizik) dan ayat Al Quran dan hadis bila boleh di pos yang akan datang. ( insya Allah)


Kesimpulan : Semua masalah kita berpunca dari corak pemikiran yang tidak sempurna . Semua masalah ini hanya boleh di atasi dengan mengubah corak pemikiran kita menjadi sempurna.






No comments:

Post a Comment