Friday, June 26, 2009

Nasihat yang sangat penting (bhgn 3)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi minggu ini.

Saya ingin memberikan satu contoh supaya kepentingan corak pemikiran yang betul ini boleh difahami dengan lebih senang. Katakan ada seorang yang sedang mengayuh basikal. Perkara pertama yang perlu diputuskan ialah kemanakah halatuju atau destinasinya. Tanpa destinasi, pengayuh basikal tadi akan mengayuh basikalnya berpusing - pusing disekitar bandar atau kampungnya secara sia-sia. Akhirnya dia akan keletihan dan berhenti mengayuh tanpa mencapai mana-mana destinasi. Matlamat merupakan seperti destinasi untuk pengayuh basikal tadi. Tanpa matlamat, kita akan terumbang- ambing dalam kehidupan kita tanpa mencapai apa- apa kejayaan. Fikirkan dan bersedia dengan matlamat hidup anda kerana kita akan membincangkannya dengan terperinci dalam blog - blog yang akan datang.( insya allah) Matlamat juga merupakan perkara pertama yang perlu kita ada bagi membentuk corak pemikiran yang betul. Majoriti dari kita tidak mempunyai matlamat. Ini merupakan masalah besar yang sering merupakan punca kegagalan kita kerana kita sedang mengayuh basikal tanpa mengetahui kemana kita hendak pergi. Iaitu kita tidak mempunyai matlamat.

Sekarang , katakan pengayuh basikal sudah mempunyai destinasi iaitu dia hendak ke Singapura. Dia boleh sampai ke Singapura dengan berbasikal. Tetapi dia hendaklah mengayuh basikal dengan bersungguh - sungguh sekiranya dia hendak sampai ke Singapura dengan cepat. Besar kemungkinan dia akan penat dan berhenti ditengah jalan kerana kepenatan.

Beginilah ramai dari kita gagal kerana tiada destinasi (matlamat) . Jika ada destinasi (matlamat) pun , kita masih gagal mencapainyai kerana kita kepenatan mengayuh basikal. Ini adalah sesuatu yang menyedihkan kerana sebenarnya setiap dari kita sudah dibekalkan sebuah kereta yang canggih oleh Allah iaitu minda kita. Kita hanya perlu belajar memandu kereta tersebut iaitu belajar menggunakan minda kita. Selepas itu kita akan sampai ke destinasi dengan cepat dan selamat. Menjadi tugas anda belajar memandu kereta iaitu anda hendaklah mencari ilmu yang boleh menukar corak pemikiran anda. Kita akan melihat dalam blog ini caranya. Perkara pertama yang anda perlu belajar saya sudah sebutkan tadi iaitu matlamat.

Sila perhatikan bahawa walaupun anda sudah pandai memandu kereta (iaitu sudah mempunyai corak pemikiran yang betul) , anda masih perlu berusaha untuk sampai ke Singapura. Anda perlu menghidupkan enjin kereta, memasukkan gear, menekan minyak dan brek bila perlu dan mengawal stering. Walaubagaimanapun, setiap usaha kita tadi mendatangkan hasil yang jauh lebih banyak berbanding dengan orang yang berbasikal tadi. Kemungkinan kita mencapai destinasi kita dengan cepat dan selamat juga lebih tinggi berbanding dengan orang yang berbasikal tadi. Begitulah bila kita mempunyai corak pemikiran yang betul,kita masih perlu berusaha. Bezanya, setiap usaha kita akan mendapat hasil yang jauh lebih banyak berbanding dengan orang yang tidak mempunyai corak pemikiran yang baik.

Jadi sentiasalah berusaha menukar corak pemikiran anda.

Sekian terimakasih

No comments:

Post a Comment