Saturday, May 16, 2009

Pengenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya Dr. Mohamed Farook bin Raj Mohamed M.D. (UKM) OHD (NIOSH) . Saya adalah seorang doktor perubatan. Di blog ini saya akan berkongsi ilmu tentang motivasi dan cara memajukan diri. Anda mungkin bertanya kenapa seorang doktor perubatan pula berbicara tentang motivasi. Saya masih mengamalkan bidang kedoktoran. Pada masa yang sama saya perhatikan dalam kehidupan seharian terdapat ramai orang yang baik tetapi mengalami banyak kesusahan dalam kehidupan seharian.
Saya juga dapati ada segolongan kecil yang sentiasa bertuah dalam segala apa yang mereka lakukan samada bekerja, berniaga , mencari jodoh dan sebagainya. Apabila mencari kerja mereka dapat kerja yang bagus, majikan yang bagus, sentiasa dapat menyiapkan kerja dengan baik, dapat kenaikan pangkat dan sebagainya. Bila berniaga dapat lokasi perniagaan yang baik, pekerja yang jujur dan rajin dan perniagaannya maju. Apa sahaja yang dilakukan menemui kejayaan. Katakan kita panggil golongan ini golongan A. Satu lagi golongan pula sentiasa menemui masalah dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Kerja susah dapat. Kalau dapat pun sentiasa bermasalah dengan majikan. Bila berniaga pekerja pula sentiasa kurang jujur dan malas. Akhirnya perniagaan tidak maju dan rugi. Bila beli rumah projek terbengkalai pula. Pendekata golongan ini sentiasa bermasalah. Katakan golongan kedua ini golongan B.
Kebanyakan dari kita merupakan golongan pertengahan , kadang- kadang berjaya, kadang- kadang tidak. Apakah yang menyebabkan golongan A ini sentiasa berjaya dan golongan B ini sentiasa gagal? Inilah asas kajian saya selama 2 setengah tahun. Saya telah membaca berpuluh puluh buku, mengikuti berbagai kursus dalam negeri dan secara online dan menghabiskan ribuan ringgit untuk tujuan kajian ini. Tiada satu kursus atau buku pun yang dapat menjawab soalan saya dengan sepenuhnya. Namun setelah membaca begitu banyak buku dan mengikuti banyak kursus saya dapat membuat formula saya sendiri untuk menjana kejayaan iaitu melalui perubahan minda.
Setelah bersusah payah mendapat formula ini saya mula mengamalkannya dan mengajarkannya. Saya dapati ia mampu merubah kehidupan sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Saya rasa sangat merugikan jika saya menyimpannya sahaja. Jadi saya ingin berkongsi dengan anda cara menjana kejayaan ini. Semoga semua manusia di dunia ini berjaya mengecapi kejayaan didunia dan akhirat.
Saya ingin menerangkan bahawa kejayaan yang saya maksudkan bukanlah kejayaan material (duit) sahaja. Kejayaan melalui kesihatan yang baik dan hubungan yang baik dengan tuhan dan sesama manusia juga boleh dicapai dengan cara yang sama. Hubungan sesama manusia seperti dengan suami atau isteri, anak dan ibubapa, jiran tetangga, majikan, pekerja dan adik beradik , ahli keluarga dan juga sesama kauman yang berlainan juga penting dijaga. Semua manusia di mukabumi ini adalah makhluk tuhan juga.
Apa yang saya kongsi diblog ini merupakan ajaran yang berasaskan dua bidang sains iaitu pertamanya sains kuantum fizik ( satu bahagian sains fizik yang terkini ) dan NLP ( neuro-linguistik- programming) satu bidang psikologi yang baru. Jadi ianya tiada kaitan dengan sebarang agama dan boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira agama, kaum , jantina ,umur, kepercayaan dan sebagainya. Walaupun begitu, sebagai orang Islam saya akan menyelitkan ayat Quran dan Hadis untuk menunjukkan bahawa benda ini sudah pun diterangkan dalan Quran dan Hadis , cuma orang Islam gagal memahaminya dan gagal mengamalkannya.
Saya akan banyak menekankan amali iaitu apa yang boleh diamalkan terus. Teori saya akan sentuh setakat cukup untuk memahami amali tadi. Saya juga akan banyak menggunakan cerita dalam blog saya jika boleh. Ini adalah kerana kita mudah mengingat cerita. Cerita juga diceritakan kepada kanak-kanak dan anak murid oleh guru. Kita juga boleh menceritakan cerita ini dan senang menyambung dengan mesej ( pesanan) yang kita ingin sampaikan kepada rakan- rakan kita.
Insyaallah saya akan cuba untuk menulis diblog ini pada setiap awal dan pertengahan bulan. Jangan lupa untuk melawati blog ini setiap 1 dan 15 haribulan. Saya meminta anda mengenalkan blog ini kepada rakan - rakan anda supaya kita dapat membantu sesama kita. Saya akan memulakan perkongsian ilmu mulai post akan datang. Jika ada apa- apa kesilapan saya
memohon ampun dan maaf.

Sekian. Terimakasih

No comments:

Post a Comment