Tuesday, November 8, 2011

RINGKASAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Syukur alhamdulillah kita dapat berjumpa lagi. Kali ini saya ingin meringkaskan kesemua isi blog ini . Ini juga merupakan bahagian akhir blog ini.

7.RINGKASAN

Satu– satunya manusia yang boleh mempengaruhi nasib anda adalah ANDA sendiri . Tiada satu manusia pun di mukabumi ini yang boleh mempengaruhi nasib anda.

Seseorang mungkin mengalami masalah yang nampaknya SEOLAH – OLAH BERPUNCA dari sumber lain seperti majikan, pelanggan ,rakan kerja, suami atau isteri, anak – anak , jiran tetangga atau situasi seperti kemelesetan ekonomi, kenaikan harga barangan , kemalangan dan sebagainya.

Punca sebenar masalah adalah 2 sahaja
a) Allah ( tuhan) b) diri sendiri

Perkara yang Nampak seperti punca masalah seperti majikan , pelanggan , rakan kerja , suami atau isteri, anak – anak atau kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga barangan adalah penyampai masalah tersebut dan bukannya punca masalah tersebut. Ini adalah sama seperti posmen yang menyampaikan kiriman wang kepada seorang penuntut.Beliau hanya menyampaikan kiriman wang dan bukannya sumber kiriman wang tersebut. Sumber kiriman wang mungkin ayah penuntut tersebut.Ini saya sudah terangkan dalam blog yang lebih awal.

1) Allah sebagai punca masalah
Allah ( tuhan) adalah seorang yang Ar rahman dan Arrahim. Allah (tuhan) tidak akan sengaja menyusahkan kita tanpa sebarang sebab. Hanya terdapat 2 situasi dimana Allah akan menghantar masalah kepada kita

a) Apabila kita perlu belajar sesuatu
Maka Allah akan memberi kita satu masalah sehingga kita belajar apa yang kita perlu belajar dari masalah tersebut. Sehingga kita belajar dari masalah tersebut apa yang kita sepatutnya belajar, masalah itu akan berulang – ulang dalam hidup kita. ( Lihat blog mengenai masalah). Apabila kita sudah belajar apa yang kita perlu belajar, maka masalah itu akan lenyap.

b) Sebagai satu ujian
Apabila kita tabah menghadapi masalah itu dan kita redha disamping berusaha mengatasi masalah tersebut, maka masalah itu akan selesai. Selepas selesai menghadapi ujian tersebut, maka kita akan lebih maju dalam hidup kita.

2) Kita sendiri Sebagai punca masalah
Masalah tidak berlaku secara rawak dalam hidup kita. Allah (tuhan) menetapkan dua hukum fizik yang menentukan segala yang berlaku dalam hidup kita. Samada kita tahu atau tidak mengenai kedua – dua hukum ini , kita tidak akan dapat lari dari hukum ini. Kedua hukum ini juga sentiasa berkesan , sama seperti Hukum Graviti. Hukum Graviti adalah sentiasa berkesan. Manusia sentiasa tertakluk kepada Hukum Graviti samada kita tahu atau tidak tentang Hukum Graviti. Sebuah bola akan jatuh apabila dilepaskan dari tempat tinggi, tak kira samada yang melepaskan bola itu adalah seorang yang tahu secara mendalam mengenai hukum gravity ( seperti seorang Ahli Fizik ) atau seorang budak kecil. ( yang langsung tidak tahu langsung mengenai hukum gravity ).

Dengan Cara yang sama , hidup anda akan dipengaruhi oleh kedua Hukum ini samada anda tahu atau tidak mengenai kedua Hukum ini.
Kedua Hukum itu adalah
a) Hukum Tarikan ( Law of Attraction)
b) Hukum Tindakan dan Tindakbalas ( Law of Action and Reaction)


Kedua Hukum ini adalah hukum fizik dan tertakluk dibawah kuantum fizik. (satu cabang sains fizik yang terkini) dan mempunyai formulanya sendiri. Selama ini , ramai orang tidak tahu mengenai kedua Hukum ini dan akibatnya mengalami banyak masalah dalam kehidupan mereka. Setelah mengetahui tentang kedua – dua Hukum ini, anda boleh menggunakannya untuk menjana kejayaan dalam hidup anda.

1.HUKUM TARIKAN
Hukum Tarikan menggatakan bahawa kita sentiasa menarik kedalam hidup kita apa yang kita fikirkan.

Kita sentiasa berfikir. Fikiran kita sentiasa menghasilkan getaran. Getaran ini terdapat dua jenis sahaja iaitu
a) Getaran positif dan
b) Getaran negative.

Pada satu ketika hanya terdapat satu jenis getaran iaitu samada positif atau negatif

Getaran yang positif akan menarik perkara yang positif ( kejayaan ) ke dalam hidup kita. Getaran negative pula akan menarik perkara yang negative ( masalah ) kedalam hidup kita.

Untuk menjana kejayaan , kita perlulah perlulah sentiasa berfikiran positif.
Contoh fikiran positif yang menghasilkan getaran positif
1) Bersyukur
2) Menumpukan perhatian kepada apa yang anda hendak
3) Berfikiran positif dan yakin kepada diri sendiri
4) Menumpukan perhatian kepada perkara yang positif dalam hidup kita
5) Gembira melihat kejayaan orang lain


A.BERSYUKUR
Kita perlulah bersyukur dengan apa yang kita ada SEKARANG, pada masa yang sama kita berusaha mencapai matlamat kita. Walaupun seseorang itu banyak kekurangannya, dia perlulah bersyukur dengan apa yang dia ada sekarang dan terus berusaha, maka Allah akan memberikannya rezeki yang lebih dan matlamatnya akan tercapai.
Bersyukur akan menghasilkan getaran positif yang kuat

B.MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA APA YANG ANDA HENDAK
Kuantum fizik mengatakan bahawa apa sahaja yang mendapat perhatian kita akan menjadi semakin besar . Apa yang tidak mendapat perhatian kita akan akan semakin kecil dan lenyap dari hidup kita .

Jika kita menumpukan perhatian kepada apa yang kita hendak , maka akan muncul lebih banyak perkara yang positif ( kejayaan ) dalam hidup kita. Jika sebaliknya, kita menumpukan perhatian kepada perkara yang negative dalam hidup kita, maka perkara yang negative ( masalah ) akan lebih menjadi lebih banyak dalam hidup kita.
Maka untuk menjana kejayaan, kita perlulah menumpukan perhatian kepada perkara yang positif dalam hidup kita.

C.BERFIKIRAN POSITIF DAN YAKIN PADA DIRI SENDIRI
Kita perlulah yakin pada diri sendiri dan percaya kita boleh menyelesaikan tugasan yang diberi dengan baik. Maka ini akan menghasilkan Getaran positif dan seterusnya menarik kejayaan dan perkara positif kedalam hidup kita.

D.MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA PERKARA YANG POSITIF DALAM HIDUP KITA
Jika kita menumpukan perhatian kepada perkara yang positif dalam hidup kita, maka akan muncul lebih banyak perkara yang positif ( kejayaan ) dalam hidup kita. Jika sebaliknya, kita menumpukan perhatian kepada perkara yang negative dalam hidup kita, maka perkara yang negative ( masalah ) akan lebih menjadi lebih banyak dalam hidup kita.
Maka untuk menjana kejayaan, kita perlulah menumpukan perhatian kepada perkara yang positif dalam hidup kita.

E.GEMBIRA MELIHAT KEJAYAAN ORANG LAIN
Gembira melihat kejayaan orang lain akan menghasilkan getaran positif dan menarik perkara positif ( kejayaan ) ke dalam hidup mereka. Rasa irihati melihat kejayaan orang lain akan menghasilkan getaran negative dan menarik lebih banyak masalah kedalam hidup mereka
Jadi kita perlu sentiasa gembira melihat kejayaan orang lain. Ucapkan tahniah kepada orang itu dan anda akan memperolehi kejayaan dengan cepat.


2. HUKUM TINDAKAN DAN TINDAKBALAS
Hukum ini menyatakan setiap tindakan kita akan mempunyai tindakbalas. Jadi seorang yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Seorang yang melakukan kejahatan pula akan dibalas kejahatan . Jadi sentiasalah melakukan kebaikan. Keluarkanlah zakat dan bantulah orang lain ( bantuan kewangan dan bantuan lain). Bila membantu , janganlah mengharapkan balasan dari orang yang kita bantu. Maka apabila kita memerlukan bantuan. Maka Allah (tuhan ) akan menghantar orang untuk membantu. Orang yang membantu kita mungkin orang yang kita pernah bantu atau tidak pernah kita bantu. Orang yang membantu kita mungkin orang yang kita kenali atau tidak kita kenali. Jangan risau tentang itu. Sentiasalah bantu orang bila boleh, maka kita akan akan mendapat bantuan bila diperlukan .

3. MASALAH
Masalah mungkin timbul dalam hidup kita. Masalah ini mungkin berpunca
a) Kita tidak memahami Hukum Tarikan dan menghasilkan getaran negative
b) Seseorang yang membuat perkara negative seperti mengambil rasuah, membuat kerja yang merugikan orang lain demi keuntungannya seperti kontraktor yang membuat bangunan yang kemudiannya runtuh. Maka orang itu akan mengalami masalah sebagai balasan dari tindakannya. (Hukum Tindakan dan Tindakbalas)

c) Allah juga akan memberi masalah dalam dua keadaan
i) Teguran – apabila kita perlu belajar sesuatu. Maka selagi kita tidak belajar apa yang sepatutnya kita belajar, maka masalah itu akan berulang.Apbila kita sudah belajar apa yang perlu dibelajar, maka masalah itu akan berlalu.
ii) Ujian – kadang – kadang Allah akan menguji kita. Apabila kita sudah melepasi ujian , maka kita akan semakin maju dalam hidup kita.

d) Jika terdapat perkara negative ( masalah ) dalam hidup kita, maka
i) Tanyalah pada Minda Bawah Sedar apa yang perlu saya belajar dari masalah ini
ii) Ambil langkah untuk mengatasi masalah itu
iii) Ambil langkah untuk mencegah masalah jtu
iv) Kemudian LUPAKAN masalah tersebut. Kita perlu REDHA menerima masalah tersebut.
v) Maka masalah tersebut akan hilang dengan cepat

4. KEPERCAYAAN MENGONGKONG
1. Kepercayaan mengongkong ( limiting beliefs) adalah kepercayaan yang SALAH yang mengongkong minda seseorang. Kepercayaan ini akan menghalang seseorang dari mencapai kejayaan .Contoh kepercayaan mengongkong
a)Orang kaya adalah jahat. Maka jika saya menjadi kaya, maka saya akan menjadi jahat
b) Wanita tidak pandai berniaga. Oleh kerana saya wanita , saya tidak akan Berjaya dibidang perniagaan.
Kepercayaan mengongkong yang SILAP ini menghalang ramai wanita dari Berjaya didalam bidang perniagaan.
c) Saya tidak berpendidikan tinggi. Maka saya tidak boleh Berjaya didalam perniagaan. Kepercayaan mengongkong yang SILAP menghalang golongan kurang berpendidikan dari Berjaya dalam bidang perniagaan.
Kepercayaan mengongkong boleh dipecahkan dengan teknik seperti visualisasi, afirmasi dan sebagainya.

5.MENGGUNAKAN EMOSI SEBAGAI PANDUAN
Bagaimana kita boleh mengetahui samada kita sedang berfikiran positif atau negative ? Allah ( tuhan) sudah memberikan kita satu panduan iaitu emosi kita. Apabila kita mempunyai yang positif seperti gembira, bersyukur, girang dan sebagainya bermakna kita sedang mempunyai fikiran positif.
Emosi yang negative ( seperti takut , marah , risau geram, sedih )menggambarkan bahawa kita sedang berfikiran negative. Maka alihkan tumpuan kita dari perkara yang negative kepada perkara yang positif. Maka emosi kita akan menjadi positif.
Jagalah supaya emosi sentiasa positif, maka kejayaan akan dapat dicapai dengan cepat.
Dalam kereta yang agak canggih , terdapat system GPRS. Sistem ini akan memberitahu jalan yang betul. Jika terkeluar dari jalan yang betul , maka system itu akan berbunyi. Bila kembali kejalan yang betul barulah bunyi akan berhenti. Maka untuk sampai kedestinasi yang betul, maka ikut arahan system GPRS sahaja.
Dengan cara yang sama , kita hanya perlu menjaga emosi supaya sentiasa positif. Jika emosi negative, betulkan tumpuan pemikiran kita supaya emosi menjadi positif. Maka kita akan sentiasa mencapai malamat dan mengecapi kejayaan.

6. MENUMPUKAN PERHATIAN PADA MASA SEKARANG
Menumpukan perhatian pada masa sekarang merupakan satu teknik untuk menjaga emosi kita supaya sentiasa positif.
Satu- satunya masa yang kita ada sebenarnya adalah masa sekarang. Masa lampau dan masa akan datang hanya ujud dalam minda kita. Katakan satu masa 2 tahun lepas ( contohnya 1.1.2010) . Maka masa ini hanya ujud dalam minda kita. Satu tarikh seperti 1.1.2013 juga hanya ujud dalam minda kita. Kita tidak boleh membuat apa – apa perkara pada tarikh 1.1.2013 sehingga tarikh itu sampai

a) Masa Lampau
Janganlah sedih mengenangkan masa lampau. Apa yang sudah berlalu sudah berlalu. Kesalahan yang lepas tidak dapat dibetulkan. Belajarlah dari kesilapan yang dilakukan.
Jika ada yang membuat kesilapan , MAAFKAN sahaja mereka. Memaafkan merupakan satu HADIAH kepada diri anda sendiri. Jika tidak EMOSI NEGATIF seperti marah dan sedih akan menimbulkan masalah dalam hidup anda.
Jika anda yang membuat kesilapan dimasa lampau, MINTA MAAF supaya boleh MENGHILANGKAN EMOSI NEGATIF anda.
Jika ada kenangan yang menyedihkan seperti orang yang sudah tiada, ingatlah perkara yang menggembirakan tentang mereka.

b) Masa akan Datang
Janganlah risau tentang masa depan . Buatlah matlamat dan bertindaklah ( seperti yang saya kongsi dalam blog tindakan) untuk mencapai matlamat.
Jadi jangan risau tentang masa depan.

c) Masa Sekarang
Adakah anda menghadapi apa-apa masalah sekarang ? Maksud saya adakah anda menghadapi apa – apa masalah pada saat ini? Jika anda mengatakan masalah seperti perlu membuat bayaran kereta, rumah dan sebagainya ia adalah masalah tetapi bukan pada masa sekarang. Ambil langkah yang perlu tetapi jangan risau mengenainya. Jika ada anjing yang sedang mengejar anda contohnya, maka barulah anda sedang mengalami masalah pada masa sekarang. Maka ambillah tindakan serta – merta seperti berlari. Jika tidak jangan risau. Buat perancangan tentang masa depan dan bertindaklah untuk mencapainya

7. MEDITASI
Meditasi merupakan satu teknik yang penting dan perlu diamalkan setiap hari. Meditasi merupakan satu ilmu yang luas . Saya sudah berkongsi teknik meditasi yang ringkas tetapi merupakan asas dan berkesan dalam blog mengenai meditasi. Anda boleh belajar lebih lanjut mengenai meditasi dari guru – guru yang berpengalaman dan mengamalkannya setiap hari. Sementara itu, amalkanlah teknik meditasi yang saya kongsi dalam blog saya setiap hari. Meditasi merupakan teknik yang penting untuk mengasah minda, mendapat ketenteraman minda, sihat, dan mendapat intuisi yang hebat.
Meditasi juga merupakan amalan kebanyakan orang hebat , wali – wali dan para sufi Islam. Dalam Islam ianya dipanggil tafakur. Meditasi juga menjadi amalan dalam kebanyakan agama dengan nama yang berbeza

8. TEKNIK VISUALISASI
Teknik visualisasi merupakan amalan yang sangat penting dan perlu diamalkan setiap hari untuk mencapai matlamat kita
a) Pilih satu matlamat
b) Dapatkan seberapa banyak maklumat mengenai matlamat tersebut
c) Bayangkan matlamat anda setiap hari sekurang – kurangnya 5 minit sehari. Tutup mata jika semasa membayangkan matlamat anda
d) Bayangkan seolah – olah anda SUDAH MENCAPAI matlamat anda
e) Bayangkan matlamat seperti video ( gambar ) yang bergerak dan bukannya gambar yang kaku.
f) Emosi – pastikan emosi anda gembira semasa membayangkan matlamat tadi.
Rujuklah kepada blog visualisasi untuk memahami teknik visualisasi dengan lebih lanjut

9. SAINS MENJADI KAYA
Sains Menjadi Kaya adalah sebuah buku yang ditulis oleh Wallace D Wattles pada tahun 1908. Beliau mengkaji 500 orang yang Berjaya dizamannya dan membandingkan dengan lebih ramai orang yang tidak Berjaya. Beliau membuat satu formula ( kesimpulan) tentang ciri – ciri orang yang Berjaya. Sebelum itu mari kita lihat dua prinsip yang dinyatakan oleh Wallace D Wattles iaitu
a) Prinsip Melimpah Ruah
b) Prinsip Mencipta Kekayaan vs Prinsip Merebut Kekayaan
a) Prinsip Melimpah Ruah mengatakan bahawa Tuhan amat kaya dan mampu memberikan kita rezeki sebanyak mana pun yang Tuhan hendak berikan kepada kita. Yang menghadkan rezeki yang kita terima adalah kita sendiri dan bukannyllah (Tuhan).
b) Prinsip mencipta kekayaan vs Prinsip merebut kekayaan
Prinsip ini menyebut bahawa apabila seseorang berfikir dan bekerja dengan cara tertentu maka dia akan menerima rezeki yang melimpah ruah dari Allah (tuhan) . Dia seolah – olah mencipta rezeki. Orang yang tidak berfikir dan tidak bekerja seperti itu terpaksa bekerja keras untuk mendapat rezeki. Ini seolah olah terpaksa merebut kekayaan dari orang lain.Maksud Wallace D Wattles adalah apabila kita berfikir dan bekerja dengan cara tertentu, maka kita akan menggunakan kuasa Minda Bawah Sedar untuk menjana rezeki. Jika tidak berfikir dan bekerja dengan cara yang tersebut, maka dia tidak menggunakan kuasa Minda Bawah Sedar dan terpaksa bekerja keras untuk menjana kejayaan , seolah – terpaksa merebut rezki dari orang lain. Cara bekerja dan berfikir seseorang yang mencipta rezeki adalah seperti berikut
i) Mengamalkan Teknik Visualisasi setiap hari
ii) Bekerja dengan Niat member Perkhidmatan
iii) Memberikan Perkhidmatan yang terbaik mampu diberikan
iv) Apabila memberi perkhidmatan , niatkan orang yang mendapat perkhidmatan anda akan semakin maju dalam hidup mereka.
v) Sentiasa bersyukur
Saya sudah menerangkan semua perkara ini dalam blog mengenai Sains Menjadi Kaya

10.MATLAMAT
A. CARA MEMBUAT MATLAMAT
i) Hendak – Tumpukan kepada apa yang anda hendak
ii) Spesifik - Matlamat mestilah spesifik
iii) Ukuran – Matlamat yang boleh diukur mestilah dinyatakan ukurannya
iv) Masa - Matlamat mestilah ada satu tarikh untuk dicapai ( dan bukannya jangkamasa)
Perlu ada matlamat jangkamasa pendek dan matlamat jangkamasa panjang
Matlamat jangkamasa pendek mestilah selaras dengan matlamat jangkamasa panjang
v) Percaya- kita mestilah mempercayai bahawa kita boleh mencapai matlamat kita.

B. CARA MENCAPAI MATLAMAT DENGAN CEPAT
i) Kenapa – Jawab soalan kenapa anda hendak mencapai matlamat tersebut
ii) Beritahu – beritahu kepada orang lain matlamat anda
iii) Tulis - Tuliskan matlamat anda
iv) Afirmasi - amalkan teknik afirmasi setiap hari
vi) Visualisasi Amalkan teknik visualisasi setiap hari
vii) Bertindak anda perlulah bertindak untuk mencapai matlamat anda

Sampailah kita ke penghujung blog kita mengenai menjana kejayaan melalui perubahan minda. Apa yang tertulis di bahagian ringkasan ini semuanya saya telah terangkan dengan lebih lanjut dalam blog saya. Anda boleh menimba lebih banyak ilmu , tetapi pastikan ilmu itu selaras dengan apa yang anda pelajari di blog ini. Contohnya

1) Saya ada menyebut anda perlu memberi perkhidmatan yang terbaik yang anda mampu berikan . ( salah satu prinsip Sains Menjadi Kaya) . Seorang tukang masak boleh mengambil kursus masakan supaya boleh menyediakan masakan yang lebih enak , seorang guru boleh belajar teknik mengajar yang lebih baik dan seorang setiausaha boleh belajar teknik kesetiausahaan yang lebih baik. Ini semua membolehkan orang itu memberi perkhidmatan yang lebih baik.

2) Teknik Meditasi – apa yang saya kongsi adalah hanya asas dalam bidang meditasi . Anda boleh belajar teknik meditasi dengan guru yang berkelayakan supaya dapat belajar teknik meditasi dengan lebih mendalam dan teknik yang sesuai dengan anda. Jika anda tidak dapat belajar, tidak mengapa amalkan sahaja apa yang saya kongsi dalam blog . Ianya sangat berkesan

3) Teknik Visualisasi- terdapat buku yang sangat bagus mengenai teknik visualisasi. Saya mencadangkan buku ‘ Creative visualization ‘ oleh Shakti Gawain.

4) Afirmasi dan teknik lain – dalam internet dan juga terdapat buku yang menerangkan tentang teknik – teknik lain yang berguna. Anda boleh baca dan amalkan selagi ianya tidak bercanggah dengan apa yang saya kongsi dalam blog ini

5) NLP ( NeuroLinguistikProgramming ) adalah satu teknik yang berguna anda boleh belajar . Ia sangat berkesan contohnya dalam bidang jualan ( marketing) .Teknik NLP sahaja tanpa mengubah dunia dalamannya tidak akan berkesan. Seorang jurujual yang belajar teknik NLP tetapi tidak berusaha mengubah dunia dalamannya tidak akan Berjaya dalam bidang jualan. Sebaliknya jika dia mengubah dunia dalamannya dia akan Berjaya dibidang jualan. Jika dia menukar dunia dalaman diikuti dengan mengamalkan teknik NLP , maka dia akan Berjaya dengan lebih cepat dalam dunia jualan.

6) Power of Positive Thinking – Kuasa berfikir positif. Buku ini sudah ada dalam versi bahasa Malaysia

7) Intusi – anda boleh membaca buku mengenai intuisi
Ada juga buku yang yang mengajar bertentangan dengan apa yang saya kongsi dalam blog ini. Contohnya saya menjumpai sebuah buku bertajuk ‘ Bagaimana Memotivasikan Pekerja Anda’ . Anda perlu sedar anda tidak boleh memotivasikan pekerja anda. Jika teknik yang diajarkan berkesan, ia akan berkesan buat sementara sahaja. Majikan ini sedang cuba menukar dunia luarannya ( iaitu memotivasikan pekerjanya) tanpa menukar dunia dalamannnya. ( iaitu memotivasikan diri sendirinya) .Maka teknik itu akan gagal . Apabila dia memotivasikan dirinya, maka pekerjanya akan berubah dengan sendirinya. Pekerja yang tidak boleh menukar dirinya akan berhenti kerja dan digantikan dengan pekerja yang bermotivasi. Selepas menukar dirinya , barulah majikan boleh mengamalkan apa yang terkandung dalam buku ‘ Bagaimana memotivasikan pekerja anda’. Barulah ianya akan berkesan dalam memotivasikan pekerjanya.

Begitu juga terdapat teknik yang menggunakan tarikh lahir sebagai panduan hidup. Sebenarnya , jika anda percaya apa yang diberitahu oleh guru tarikh lahir ini, maka ia akan menjadi kepercayaan mengongkong anda . Contohnya jika seseorang diberitahu bahawa menurut tarikh lahir dia akan gagal dalam bidang perniagaan, maka itu akan menjadi kepercayaan mengongkongnya. Maka seterusnya dia akan gagal dalam bidang perniagaan. Kegagalannya bukannya berpunca dari tarikh lahirnya, tetapi berpunca dari KEPERCAYAANNYA bahawa dia akan gagal dalam bidang perniagaan kerana lahir pada tarikh tertentu. Jadi elakkan dari mempercayai teknik begini.

Apabila anda mendengar berita atau membaca suratkhabar, apakah jenis berita yang anda biasa dengar? Sudah tentu semuanya adalah berita negative seperti kemalangan , peperangan , kebuluran dan jenayah. Semua berita ini adalah berita negative yang membawa perhatian kita kepada perkara yang negative dan perkara yang kita tidak hendak. Maka kurangkan masa yang anda peruntukkan untuk mendengar berita atau membaca suratkhabar. Jika anda jenis yang mesti mengetahui berita, cukuplah sekadar mengetahui berita penting sahaja.Masa yang dijimatkan lebih baik digunakan untuk teknik visualisasi atau meditasi.

Katakan anda membaca suratkhabar atau mendengar berita mengenai peperangan , kebuluran,jenayah atau bencana alam. Sudah tentu anda akan mengalami emosi negative seperti sedih dan marah . Emosi negative ini hanya akan menarik lebih banyak perkara negative kedalam hidup anda. Apabila ramai orang yang menumpukan perhatian kepada sesuatu masalah seperti peperangan , kebuluran, jenayah atau bencana alam tadi, maka menurut kuantum fizik masalah itu mungkin akan menjadi semakin besar.

Jadi apa yang kita perlu lakukan apabila mendengar atau membaca berita tentang peperangan, kebuluran, jenayah atau bencana alam ? Ini semua merupakan masalah, jadi tanganinya seperti anda akan atasi sebarang masalah.
i) Tanya diri anda apa yang anda perlu belajar dari masalah ini? Mungkin kita perlu bersyukur kita tiada masalah sebegini
ii) Ambil langkah untuk mengatasi dan mencegah masalah tersebut. Contohnya buat kutipan derma, berikan sumbangan atau berikan perkhidmatan anda untuk mangsa yang terlibat selagi ia diperlukan
iii) Kemudian LUPAKAN masalah tersebut. Jangan ada emosi negative seperti marah , sedih , takut dan sebagainya.Emosi negative ini tidak akan membantu mangsa tersebut atau sendiri.
Sebab inilah ramai pakar motivasi mencadangkan agar kita mengurangkan atau berhenti terus dari mendengar atau membaca berita .

Apa yang terkandung dalam blog ini merupakan panduan untuk anda mencapai kejayaan. Anda tidak perlu mencari dengan lebih lanjut lebih banyak teknik untuk maju. Saya telah membeli banyak kursus yang harganya mencecah ratusan malahan ribuan ringgit. Kandungan kursus itu biasanya hanya menyentuh sebahagian yang saya kongsi disini. Sebaliknya , jika anda terus menimba ilmu ,carilah ilmu yang akan membantu anda mengamalkan apa yang saya kongsi disini.

Meditasi merupakan satu teknik menghubungkan diri anda dengan pencipta yang maha esa ( tuhan). Maka melalui teknik meditasi dan intuisi , anda akan menerima panduan ilmu mana yang sesuai untuk anda pelajari dan seterusnya mendalamkan ilmu anda.
Anthony Robbins menganggarkan sebanyak 70% dari mereka yang mengikuti kursus motivasi, membaca buku motivasi dan sebagainya hanya akan MEMBACANYA atau MENGIKUTI KURSUS tetapi TIDAK AKAN MENGAMALKAN APA YANG DIBELAJAR. KEMUDIAN MEREKA AKAN MENGATAKAN APA YANG DIBELAJARI TIDAK BEKESAN. KEMUDIAN MEREKA AKAN MEMBACA BUKU LAIN ATAU MENGIKUTI KURSUS LAIN. Ini tidak dapat membantu mereka.
ANDA PERLULAH MENGAMALKAN APA YANG DIBACA DALAM BLOG INI JIKA HENDAK BERJAYA. Membaca sahaja TANPA MENGAMALKANNYA TIDAK AKAN MEMBAWA APA – APA PERUBAHAN DALAM HIDUP ANDA.

Disini saya ingin berkongsi kembali satu cerita yang saya kongsi diawal blog dahulu.Terdapat seorang anak murid yang hendak mengenal dirinya. Jadi dia telah berjumpa seorang tok guru dan bertanya bagaimana hendak mengenal dirinya. Jadi tok guru itu memberitahunya bahawa dia perlu duduk dihadapan sebuah cermin dan bertanya ‘ Siapakah saya’ berulang kali.Maka anak murid itu tidak berpuas hati. Dia menjawab bahawa tak mungkin jawapan kepada soalan yang susah ini begitu senang.Tok guru menjawab , itulah jawabannya. Jika dia tidak berpuashati maka dia boleh berjumpa dengan seorang lagi tok guru dihujung jalan .

Maka anak murid itu telah pergi berjumpa tok guru yang kedua dan bertanya soalan yang sama. Maka tok guru itu berkata sebelum dia menjawab soalan itu, anak murid itu mestilah bekerja dikandang lembu tok guru kedua tanpa gaji . Maka anak murid itu merasa gembira dan menganggap bertuah kerana berjumpa tok guru yang berilmu. Pada anggapannya, jawapan kepada soalan yang begitu penting mestilah sesuatu yang sukar diperolehi.Anak murid itu dengan gembiranya mula bekerja dikandang lembu tok guru kedua . Beliau memandikan lembu, mencuci kandang , memerah susu dan memberi makan kepada lembu tanpa gaji selama 5 tahun. Selepas 5 tahun , dia telah berjumpa dengan tok guru dan bertanya bukankah telah sampai masanya untuk dia mendapat jawapan kepada soalannya. Maka tok guru tadi menjawab bahawa jawabannya adalah untuk mengenal diri ,duduk dihadapan sebuah cermin dan bertanya ‘siapakan saya’ berulangkali .

Maka penuntut itu tidak berpuashati. Dia menjawab bahawa dia telah mendapat jawaban yang sama dari tok guru yang pertama 5 tahun lepas.Kenapa dia perlu bekerja selama 5 tahun tanpa gaji untuk mendapat jawapan yang sama? Maka tok guru yang kedua menjawab ‘ kerana kamu DEGIL’

Saya harap anda akan faham pengajaran dari cerita ini. Janganlah menyia- nyiakan apa yang saya kongsi dalam blog ini. HARGAI dan AMALKANLAH apa yang saya kongsi dalam blog ini SETIAP HARI .

SEMOGA ALLAH ( TUHAN )AKAN MENGURNIAKAN ANDA KEJAYAAN SECEPAT MUNGKIN.

Dr. Mohamed Farook b Raj Mohamed
m.d. (UKM) O.H.D. (NIOSH)



2 comments:

  1. Syukur Alhamdulillah.. syukur kepada Allah memberi saya ilmu melalui Dr. Farook.. terima kasih Dr. Farook sudi berkongsi ilmu yang tidak ternilai ini secara percuma.. Inilah ilmu yang saya cari2 selama ini.. Alhamdulillah, terasa perubahan hidup yang mendadak.. moga kita semua dilimpahi rahmat dan kejayaan selamanya.. Amin..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah syukur kepada ALLAH SWT atas ilmu yang hebat ini.

    Terima kasih banyak2 pada Dr kerana sudi berkongsi ilmu yg mahal ini

    Semoga ALLAH SWT kurniakan Dr dan keluarga kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Aaminn

    ReplyDelete