Saturday, September 19, 2009

Hukum Tindakan dan Tindakbalas (Kebajikan ) Bhgn 2

Assalamualaikumdan salam sejahtera.

Selamat bertemu kembali. Marilah kita menyambung perbincangan tentang Hukum Tindakan dan Tindakbalas. Hukum Tindakan dan Tindakbalas bukan melibatkan wang ringgit sahaja. Ia melibatkan setiap perkara yang kita lakukan, samada melibatkan wang atau tidak. Setiap tindakan kita pasti mempunyai tindakbalas .Jika kita melakukan kebaikan, pasti kita akan memperolehi balasan yang baik. Ini merupakan janji Allah dan juga hukum Kuantum Fizik.

Jika seorang selalu melakukan kebaikan, sudah pasti dia akan memperolehi kebaikan juga. Jadi selalulah menolong orang lain. Jika ada jiran yang sakit, bolehlah menolong menghantar mereka ke hospital atau klinik. Jika jiran balik kampong, tolong tengokkan rumah mereka. Jika ditempat kerja ada rakan yang tidak sihat, tolonglah mereka dengan kerja mereka, Jika ada orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda bantulah dengan membukakan pintu untuk mereka. Di jalanraya pula berilah laluan jika ada yang ingin masuk kelorong anda . Anda akan dapati bila anda memandu dan hendak menukar lorong, orang lain akan beri laluan. Setiap tindakan anda ini pasti ada balasannya. Anda juga boleh memberitahu rakan- rakan dan ahli keluarga tentang blog ini. Ini juga merupakan cara anda menolong orang lain.

Jika kita sentiasa melakukan kebaikan, pasti kebaikan banyak berlaku dalam hidup kita. Inilah Hukum Tindakan Dan Tindakbalas. Setiap manusia tidak dapat lari dari hukum ini. Dalam buku ‘ The Seven Spritual Laws of Success’ ( Tujuh Undang – Undang Kerohanian untuk Kejayaan) Deepak Chopra iaitu seorang pakar motivasi yang terulung dari Barat, mengajak kita berniat untuk memberi sesuatu kepada setiap orang yang kita temui setiap hari. Kita tidak mampu memberi bantuan kewangan kepada setiap orang yang kita temui. Jadi dia mencadangkan bahawa kita menghadiahkan sekurangnya – kurangnya senyuman kepada setiap orang yang kita temui. Dalam Hadis juga ada disebut bahawa senyuman itu sedekah. Jadi marilah kita senyum pada setiap orang yang kita jumpa setiap hari. Tindakan yang kecil ini pun akan ada kesan yang positif dalam hidup kita.



Ada satu peraturan yang perlu jaga bila memberi pertolongan atau bantuan.

BILA MEMBERI BANTUAN , JANGAN SEKALI- KALI HARAPKAN BALASAN DARI ORANG YANG ANDA BANTU.
Peraturan ini perlu diingat. Bila memberi bantuan jangan harapkan balasan dari orang yang anda Bantu. Bila anda memerlukan bantuan , anda akan dapati Allah akan hantar bantuan. Mungkin yang membantu anda adalah orang yang pernah anda bantu atau tidak pernah anda bantu. Mungkin yang membantu anda adalah orang yang anda kenali atau tidak anda kenali. Pendekata, jika anda selalu menolong orang ,Allah akan menghantar seorang untuk membantu anda bila anda memerlukan pertolongan.

Pernah ada seorang mengadu pada saya bahawa ada seorang kenalannya yang selalu meminta bantuan dan dia akan menolongnya. Masalahnya bila dia memerlukan bantuan, kenalannya selalu memberi alasan dan tidak mahu membantu. Saya menasihatkannya supaya dia membantu setakat dia mampu dan jangan harapkan balasan dari kenalannya tadi. Saya bertanya dia bukankah setiap kali dia memerlukan bantuan ada orang lain akan membantunya. Kenalan saya mengaku memang betul. Walaupun orang yang dibantunya tidak mahu membantu, ada sahaja orang lain yang akan membantunya bila dia memerlukan bantuan. Inilah dia Hukum Tindakan Dan Tindakbalas.

Hukum Tindakan dan Tindakbalas memastikan kita mendapat balasan untuk setiap perbuatan kita, samada yang baik atau kurang baik.
Seorang yang melakukan kejahatan, contohnya menerima rasuah, akan menerima hukumannya didunia dan akhirat.Contohnya , jika dia menerima rasuah 1000 ringgit, dia akan kerugian lebih dari 1000 ringgit. Misalnya mungkin keretanya akan rosak dan menyebabkan kerugian lebih 1000 ringgit. Mungkin televisen (t.v.) nya akan terbakar atau anaknya sakit menyebabkannya berbelanja lebih 1000 ringgit. Mungkin juga dia akan mendapat balasan dalam bentuk lain seperti penyakit, anak yang berperangai nakal, anak yang mengambil dadah dan sebagainya. Mungkin juga orang yang menerima rasuah ini akan mengalami rumahtangga yang retak. Ini semua adalah Hukum Tindakan Dan Tindakbalas yang memastikan kita mendapat balasan bagi setiap tindakan samada yang baik atau jahat. Begitu juga orang yang menipu , mencuri mengkhianati orang lain, menjual dadah dan sebagainya akan menerima balasan yang setimpal dengan tindakan mereka didunia dan akhirat.

Orang yang sengaja menyusahkan orang lain juga tidak terkecuali dari Hukum Tindakan dan Tindakbalas. Misalnya orang yang sengaja menyakiti orang lain, sengaja merosakkan hartabenda awam dan orang lain, mengumpat dan sebagainya akan menerima balasannya. Pendekata Hukum Tindakan dan Tindakbalas , sama seperti Hukum Graviti dan Hukum Tarikan tidak mengecualikan sesiapa. Setiap tindakan kita akan mempunyai tindakbalasnya. Tindakan yang baik dibalas dengan balasan baik berkali – kali ganda, tindakan yang jahat akan menerima hukuman yang setimpal.


KESIMPULAN
Jadi, untuk menggunakan Hukum Tindakan dan Tindakbalas ini untuk kebaikan kita, lakukanlah kebajikan SEKARANG setakat yang anda mampu. Allah akan membalas kebajikan anda 10 kali ganda atau lebih. Tolonglah orang bila anda boleh . Allah akan sentiasa menghantar orang lain untuk membantu anda bila anda memerlukan pertolongan
.
PERATURAN BILA MELAKUKAN KEBAJIKAN ATAU PERTOLONGAN .
A) Kebajikan atau pertolongan diberikan dengan niat IKHLAS kerana Allah.

B) Perlu rasa gembira bila melakukan kebajikan atau menolong orang. Ini akan mempercepatkan balasan yang kita terima.

C) Jangan harapkan balasan dari orang yang kita tolong. Bila kita perlukan bantuan , Allah akan hantar seseorang untuk membantu kita.

Sekian
Dr. Mohamed Farook Raj Mohamed

No comments:

Post a Comment